DUBAI, 21 Sept (Bernama) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai negara lain yang mengutuk serangan berani mati semalam di Hotel Marriott, di Islamabad, ibu negara Pakistan, yang mengorbankan beratus-ratus orang dan mengakibatkan beratus-ratus lagi cedera.
"UAE mengutuk sekeras-kerasnya jenayah keji ini, yang dilakukan oleh pengganas di Islamabad dan membawa kepada kehilangan nyawa serta harta benda," menurut laporan media rasmi WAM, yang memetik kenyataan daripada Kementerian Luar.
Ia menggesa rakyat Pakistan supaya berdiri teguh di belakang kerajaan mereka untuk memerangi keganasan dan memastikan kestabilan di Pakistan.
Laporan menyebut bahawa sebuah trak yang dimuatkan dengan bahan letupan meletup di pintu pagar Hotel Marriott, mengakibatkan kebakaran yang memusnahkan hotel kelas atasan itu yang popular dengan warga asing dan golongan elit Pakistan.
Letupan itu boleh didengari beberapa kilometer dari situ, ketika timbul laporan bahawa Duta Republik Czech ke Pakistan antara mereka yang terbunuh dalam insiden terbabit.
Kementerian Luar UAE mengesahkan semula kesetiakawanan dengan kerajaan Pakistan dalam mendepani tindakan pengganas itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang tidak berdosa serta berdoa agar mereka yang cedera akan cepat sembuh, kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment