KUALA LUMPUR, 14 Sept (Hrkh) - Tindakan kerajaan menahan tiga individu di bawah ISA, baru-baru ini dilihat sebagai langkah terdesak BN apabila parti itu menghadapi masalah dalaman, mahupun perselisihan sesama mereka.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, berkata apabila BN menghadapi masalah atau kemelut melibatkan parti komponen BN dan sesama ahli, kerajaan akan menjadikan orang awam atau ahli politik sebagai mangsa ISA.
"Apabila BN menghadapi kemelut sesama mereka, kerajaan akan menggunakan ISA, yang biasanya terkena kepada orang politik, dan bukannya pencetus kepada yang dikatakan boleh menimbulkan huru-hara," tegas beliau di hadapan media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan menahan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin; exco Selangor, Teresa Kok; dan wartawan Sin Chew Daily, yang dikatakan menghina agama dan menimbulkan perbalahan kaum muktahir ini.
Malah,kata beliau tindakan kerajaan itu dilihat tidak wajar apabila orang awam dikenakan akta tersebut, sedangkan pencetus isu tersebut tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
"Pemuda mempertikaikan mengapa Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail tidak dikenakan tindakan undang-undang apabila beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Sedangkan, rakyat dan ahli politik dikenakan tindakan tersebut? Itu yang menjadi pertikaian Pemuda PAS," tegas beliau.
Mengulas lanjut berkenaan artikel Raja Petra yang dikatakan menghina Islam itu, Salahuddin menegaskan artikel tersebut sebenarnya tidak sampai kepada maksud untuk menghina Islam, cuma ia boleh menimbulkan salah faham.
Tambah beliau, jika benar sekalipun Raja Petra menghina Islam, masih ada saluran lain untuk mensabitkan keslahan tersebut dan bukannya ditahan di bawah ISA.
Dalam pada itu, Salahuddin dan anggota Pemuda PAS turut serta dalam perhimpunan bantahan ISA yang dianjurkan GMI malam tadi.
Katanya, Pemuda PAS akan menghantar wakil untuk menyertai perarakan aman dari Masjid Negara ke Bukit Aman sebagai sokongan untuk membantah penggunaan ISA kepada mana-mana pihak di Malaysia.
Himpunan aman yang turut diserikan dengan majlis memasang lilin di luar ibupejabat polis Bukit Aman berakhir selama 12 minit sebelum pihak polis mengarahkan mereka bersurai.
Ia diadakan kira-kira 100 meter dari pintu masuk ke Bukit Aman bagi membantah penahanan tiga individu di bawah ISA, yang membolehkan mereka ditahan tanpa bicara.
Himpunan aman hanya 15 minit
Majlis yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu bermula jam 8.30 malam tadi, tetapi polis kemudiannya memberi mereka masa 15 minit untuk mengadakan protes tersebut dan bersurai.
Kira-kira 100 yang menghadiri majlis itu, memasang lilin dan menyanyikan lagu-lagu reformasi, sambil diperhatikan oleh 80 anggota polis, sebahagian besarnya dari balai polis daerah Dang Wangi.
Bagaimanapun, belum pun tamat tempoh 15 minit itu - pada jam 8.42 malam - polis mengarahkan mereka bersurai.
Manakala kira-kira 30 anggota polis gerak khas (LSF) pula mula mengetuk cota mereka pada perisai, bersiap sedia untuk bertindak.
Walaupun tidak puashati tetapi mereka mematuhi arahan polis dan bersurai dari situ.
Hadir sama ialah isteri Raja Petra Kamaruddin - Marina Abdullah - yang mahu para wartawan bersatu untuk membantah penahanan rakan mereka di bawah ISA.
Marina - yang suaminya turut ditahan di bawah ISA semalam - merujuk kepada penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di bawah ISA kerana melaporkan ucapan Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berbaur perkauman sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Tan telah dibebaskan.
Seorang lagi yang turut ditahan di bawah ISA ialah Teresa Kok.
Pada kira-kira jam 9.15 malam, sebahagian besar orang ramai telah beredar dari situ.
Namun yang tinggal adalah pihak penganjur, dengan pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh meminta semua pertubuhan sivil, sosial serta aktivis politik berusaha ke arah memansuhkan ISA./wann _
Sunday, September 14, 2008
ISA langkah terdesak BN yang sarat dengan masalah dalaman - Salahuddin
Labels:
Government,
ISA,
Malaysian Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment