Pages

Thursday, September 11, 2008

Bentuk kerajaan 16 September mustahil, PAS belum 'setuju' penuh

(mSTAR)PETALING JAYA: PAS yakin tidak mungkin berlaku perubahan kerajaan pada Selasa ini sebagaimana digariskan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat. Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak enam bulan yang lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, analisis beliau menunjukkan bahawa perubahan yang dirancang tidak akan berlaku disebabkan faktor teknikal dan politik.

"Sekarang, sepanjang Ramadan, Parlimen tidak bersidang. Dan apabila Parlimen tidak bersidang bagaimana kerajaan boleh bertukar?

"Kerana pertukaran kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang baru mesti melalui proses demokrasi. Kerajaan yang ada mesti digulingkan, barulah sebuah kerajaan baru didirikan," kata beliau yang Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam temu bual dengan Harakah.

Temu bual itu akan diterbitkan dalam edisi esok.

Semalam, Anwar berkata, Pakatan Rakyat sedang menimbangkang kemungkinan beranjak jika terhadap halangan untuk merealisasikan sasaran 16 September.

Temu bual itu diadakan awal minggu ini.

Anwar berkata, jika bukan 16 September, pihaknya akan memilih 20 September bagi mencapai matlamat mereka ketika segala perancangan berjalan dengan lancar.

Meskipun Mustafa tidak lagi memegang jawatan terpenting dalam PAS, namun pandangan dan tanggapannya terhadap perkembangan politik sentiasa dinanti banyak pihak.

"Saya bercakap tidak mewakili PAS tetapi mewakili peribadi saya... 16 September akan berlaku. Tidak mungkin tarikh melompat dari 15 September kepada 17!

"Tetapi perubahan terancang tidak akan berlaku, berdasarkan dua faktor (politik dan teknikal)," kata Mustafa.

Jelas beliau, dalam keadaan Parlimen tidak bersidang tidak boleh diadakan undi tidak percaya dan kerajaan semasa tidak boleh digulingkan sekali pun bilangan wakil rakyat mungkin cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

"Dari segi teknikal ia mungkin tidak berlaku. Saya tidak tahu siapa yang memilih tarikh 16 September," katanya.

Malah, kata beliau, dari segi politik, timbul pelbagai spekulasi mengenai bilangan ahli Parlimen yang hendak melompat parti.

"Ada yang kata sudah ada angka 30, angka 40 dan beberapa angka lagi, yakni jumlah mereka yang akan meninggalkan BN dan akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya tidak yakin sebab tidak mudah bagi seorang ahli Parlimen daripada parti yang memerintah hendak menyeberang kepada parti bukan kerajaan," katanya lagi.

Tambah beliau, dalam sejarah negara ini, pernah berlaku cross over masa lalu iaitu daripada parti pembangkang kepada parti memerintah.

"Dan tidak pernah berlaku daripada parti memerintah kepada parti pembangkang. Berdasarkan proses demokrasi di Malaysia selama ini, ia tidak akan berlaku," katanya.

Mengenai tarikh 16 September, beliau berkata, "dalam konteks 16 September tidak mungkin berlaku."

"Tarikh lain kita tengok nanti. Apa yang berlaku dalam parti-parti komponen BN mempunyai dinamika tersendiri.

"Gerakan nak reviu kedudukan dalam BN. Berdasarkan pengamatan saya, Gerakan akan meninggalkan BN. Namun MCA tidak mungkin meninggalkan BN.

"MCA adalah pengasas Perikatan dahulu. Kalau kenyataan Setiausaha Agungnya boleh dipakai, MCA tidak akan meninggalkan BN. Mengenai soal lawatan, ia merupakan satu reaksi melampau dan dan panik yang tak tentu pasal," katanya lagi.

Mengenai pendirian PAS, kata beliau, "sebenarnya saya tidak sempat kaji siapa orang dalam PAS yang ghairah dengan 16 September dan siapa yang tidak.'

Ini kerana, jelas beliau, pihaknya tidak pernah membincangkan secara serius mengenai hal berkenaan.

"Bagaimanapun, hari ini (Ahad lalu), Lim Kit Siang ada buat kenyataan, jika orang yang hendak lompat ini ada kepentingan peribadi, beliau tidak bersetuju. Karpal Singh juga pernah buat kenyataan serupa. Dari segi ini, nampak DAP juga tidak ghairah sekiranya lompat itu didorong kepentingan diri," katanya.

No comments:

Posting Terkini