Pages

Thursday, September 18, 2008

27 lelaki didenda RM1,000 seorang kerana hadiri perhimpunan Hindraf

KUALA LUMPUR 18 Sept.- Sebanyak 27 orang, masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah gagal bersurai pada perhimpunan haram anjuran kumpulan tidak berdaftar Hindu Rights Action Force (Hindraf) pada 25 November di ibu negara, tahun lepas.

Hakim Akhtar Tahir memerintahkan mereka menjalani penjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.

Kesemua mereka yang kebanyakannya pekerja kilang dan pekerja rencam berumur antara awal 20-an dan lewat 50-an menukar pengakuan mereka hari ini selepas peguam dari Biro Bantuan Guaman Kuala Lumpur yang mewakili mereka, Datuk N.Sivananthan menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa.

Akhtar semasa membuat keputusan itu berkata, walaupun mereka menukar pengakuan selepas pendakwaan memanggil 12 saksi untuk memberikan keterangan tetapi mahkamah mengambil kira tindakan mereka itu telah dapat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Hakim itu berkata, beliau turut mempertimbangkan rayuan dan faktor lain sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka. - Bernama

No comments:

Posting Terkini