Pages

Sunday, January 17, 2010

Thanenthiran diguling, dipecat dari Makkal Sakti

SHAH ALAM, Jan 17 — Kumpulan 14 anggota jawatankuasa pusat (CC) yang mencabar kepimpinan R.S. Thanenthiran, hari ini memutuskan untuk memecat beliau sebagai presiden sulung Parti Makkal Sakti, yang dilancarkan Oktober lalu. Ia berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu yang dilihat sebagai satu bentuk ‘penggulingan’ diputuskan susulan keputusan inkuiri yang diadakan di ibu pejabat parti itu di sini pagi ini.

Inkuiri ini menghalusi lima tuduhan yang secara umum mendakwa Thanenthiran telah mencemarkan nama baik parti. Kesemuanya diluluskan sebulat suara.

Bagaimanapun Thanenthiran yang diminta menghadiri inkuiri pagi ini, yang dijadual untuk bermula 9.45 pagi, tidak muncul kerana dipercayai berada di India.

Perjalanan inkuiri ini, yang dipengerusikan salah seorang anggota CC, N. Thakurdas, juga dipantau oleh wakil media.

“Dengan keputusan ini CC memutuskan bahawa Thanenthiran telah ditamatkan keahliannya dan dipecat dari Parti Makkal Sakti berkuat kuasa serta-merta,” kata Thakurdas.

Jawatankuasa pusat Makkal Sakti mempunyai 27 anggota.

Turut menjadi perhatian inkuiri ini diadakan di ibu pejabat Makkal Sakti di sini dengan kumpulan 14 anggota CC terpaksa ‘memecahkan’ pintu selepas ia sekali lagi dikunci, dipercayai oleh kumpulan menyokong Thanenthiran lewat malam tadi.

Laporan polis dibuat oleh kumpulan 14 anggota CC sebelum inkuiri bermula.

Keadaan yang sama dialui kumpulan 14 anggota CC ini pada 19 Dis lalu yang kemudian mengadakan mesyuarat di tempat letak kereta.

Bagaimanapun mereka tidak menghadapi masalah untuk memasuki ibu pejabat parti 9 Jan lalu.

Kumpulan ini yang diterajui timbalan presiden A. Vathemurty.

Dalam pada itu, Vathemurty yang dilantik sebagai pemangku presiden berkata pihaknya akan memilih ketua yang baru pada 7 Feb ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan mereka ini satu bentuk penggulingan kepimpinan Thanenthiran, Vathemurty berkata:

“Tidak, tidak... kami sudah memaklumkan beliau banyak kali dan telah diminta datang ke pertemuan hari ini tetapi tiada respons, malah tiada SMS balas.

“Kami sudah memberikan beliau banyak peluang sejak tahun lalu. Nampaknya beliau tidak gunakan semua peluang ini. Kami tiada pilihan.”

Beliau menolak untuk menjadi presiden tetapi mengakui sudah ada beberapa calon untuk menggantikan Thanenthiran.

“Kami akan memaklumkan Thanenthiran melalui emel hari ini dan minit mesyuarat akan dihantar kemudian. Pendaftar Pertubuhan juga akan dimaklumkan minggu depan,” katanya.

Setiausaha agungnya R. Kannan pula mendakwa Thanenthiran telah melakukan kesalahan “jenayah” dengan cuba “jalan belakang” untuk merosakkan parti.

Katanya kesalahan jenayah itu akan didedahkan kemudian.

Kumpulan itu mendakwa Thanenthiran cuba meminda perlembagaan parti secara unilateral tanpa sokongan CC.

Di akhir sidang media hampir berlaku kekecohan apabila dua lagi anggota CC yang memihak Thanenthiran melangkah ke bilik mesyuarat, mengakibatkan sedikit ‘perang mulut’.

Kedua-dua mereka ialah naib presiden A.R. Ramesh dan penolong setiausaha agung S. Sutager.

Bila pengerusi mesyuarat meminta mereka masuk, Ramesh terus berkata, ini mesyuarat tidak sah.

“Siapa mereka semua ini (merujuk kepada anggota CC yang hadir)... mesyuarat tanpa presiden,” katanya.

Ramesh yang juga adik Thanenthiran berkata, pihaknya masih menganggap Thanenthiran sebagai presiden Makkal Sakti yang sah.

“Selagi Pendaftar Pertubuhan tidak mengatakan Thanenthiran bukan presiden, selagi itu Thanenthiran adalah presiden,” katanya.

“Thanenthiran ada di India sekarang kerana urusan sembahyang dan akan pulang pada 21 Jan untuk menjelaskan pendirian beliau.

“Beliau masih presiden, mesyuarat mereka tadi tidak sah kerana kesemua mereka telah diberikan surat tunjuk sebab (untuk diambil tindakan), yang mereka belum berikan jawapan,” katanya.

Beliau mendakwa hanya presiden yang ada kuasa untuk mempengerusikan apa jua mesyuarat.

“Bagaimana mereka boleh panggil mesyuarat bila presiden ada di luar negara? Sudah tentu beliau tidak dapat hadir,” katanya.

No comments:

Posting Terkini