Pages

Wednesday, September 18, 2013

Temu bukti serangan senjata kimia di Syria


NEW YORK: Merinyu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket membawa gas saraf digunakan dalam serangan senjata kimia di luar Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Pengesahan itu terkandung dalam laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin.
"Sampel sekitaran, bahan kimia dan perubatan yang kami kumpul menunjukkan bukti jelas dan meyakinkan bahawa roket yang membawa gas saraf sarin telah digunakan," kata laporan itu.
Ketika ditemui wartawan selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan, Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, berkata: "Ini satu jenayah perang... dan penggunaan senjata pemusnah raya terburuk dalam abad ke21."
Beliau berkata laporan itu turut mendedahkan bagaimana doktor merawat orang awam yang kelihatan tidak mempunyai sebarang kesan cedera di jalan-jalan raya Ghouta beberapa jam selepas serangan itu.
Laporan tersebut tidak pula mempunyai mandat untuk menyatakan sama ada serangan kimia itu dilancarkan pemerintah Syria atau golongan pemberontak.


Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Encik Laurent Fabius, berkata bukti yang dibentangkan merinyu PBB, termasuk butiran trajektori roket yang digunakan, memberi gambaran jelas bahawa pemerintah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan sekitar 1,400 orang itu.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Cik Samantha Power, ketika ditemui wartawan selepas taklimat Majlis Keselamatan kelmarin, berkata "butiran teknikal laporan PBB itu jelas membayangkan bahawa hanya rejim (pemerintah Syria) yang mampu melancarkan serangan senjata kimia sebesar itu".
Cik Power berkata salah satu senjata yang digunakan dalam serangan itu, iaitu roket 122mm, telah digunakan askar pemerintah dalam serangan lain sebelum ini.
Menurutnya, Amerika tidak mempunyai bukti bahawa pemberontak Syria telah menghasilkan atau menggunakan roket serupa itu. - AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini