Pages

Friday, July 12, 2013

Puteri Raja didakwa 'perdagang' manusia


Puteri Raja didakwa 'perdagang' manusia
LOS ANGELES: Seorang puteri Arab Saudi didakwa terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia kerana memaksa seorang warga Kenya bekerja di sebuah kondominium di California tanpa kerelaan hatinya.
Jika disabit kesalahan, puteri yang dikenal pasti sebagai Meshael Alayban, 42 tahun, itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
Alayban merupakan salah seorang isteri Putera Arab Saudi Abdulrahman bin Nasser bin Abdulaziz al Saud.
Peguam Daerah Wilayah Orange, Encik Tony Rackauckas, berkata wanita Kenya itu berjaya melarikan diri dengan membawa satu beg pakaian dan menaiki sebuah bas pada Selasa lalu.
Wanita itu memberitahu seorang penumpang bahawa beliau merupakan seorang mangsa pemerdagangan manusia.
Penumpang itu kemudian menghubungi polis.
Alayban ditahan kelmarin apabila pihak berkuasa menyerbu kondominiumnya di Irvine.


Empat pembantu rumah Filipina telah turut dijumpai di kondominium itu dan mereka pun menyuarakan hasrat agar dibebaskan.
"Undang-undang negara kita dan California tidak membenarkan sesiapa pun mencabul kebebasan orang lain dan mendapatkan khidmat kerja secara paksa," kata Encik Rackauckas dalam satu kenyataan di mahkamah.
Wanita Kenya yang berusia 30 tahun itu dikatakan hanya dibenarkan keluar dari kompleks kondominium itu apabila beliau mengangkat beg-beg keluarga Alayban semasa mereka keluar.
Beliau pada mulanya diambil bekerja oleh Alayban sebagai pembantu rumah di istana keluarga puteri itu di Saudi pada Mac 2012.
Pasport wanita itu kemudian diambil dan beliau dipaksa bekerja selama 16 jam sehari.
Dalam kontrak kerja selama dua tahun yang ditandatangani dengan sebuah agensi pekerjaan, wanita Kenya itu dijanjikan gaji AS$1,600 ($2,019) sebulan.
Beliau juga dikatakan perlu bekerja selama lapan jam sehari dan lima kali seminggu.
Bagaimanapun, beliau kemudian hanya dibayar gaji AS$220 sebulan.
Alayban kemudian membawa wanita itu ke Amerika pada Mei lalu dan beliau dipaksa menguruskan keperluan sekurang-kurangnya lapan orang di empat apartmen di kompleks kondominium yang sama.
Beliau tidak diberi hari cuti dan tidak dibenarkan meninggalkan kondominium itu, kata pihak berkuasa.
"Ini bukan satu pertikaian kontrak. Ini adalah mengurung seseorang secara paksa," kata Encik Rackauckas kepada mahkamah kelmarin.
Polis berkata tiada kesan penderaan ditemui pada wanita Kenya itu.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak AS$5 juta ke atas Alayban dan puteri itu dikehendaki dipantau menggunakan alat GPS.
Hakim turut melarang puteri itu keluar negara tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu.
Peguam Alayban, Encik Paul Meyer, berkata kes itu merupakan satu pertikaian mengenai waktu bekerja dan gaji yang perlu dibayar seorang majikan.
"Kami merancang menyiasat sepenuhnya perkara ini dan menjangka akan dapat menyelesaikan kes ini," kata Encik Meyer. - Reuters, AP.

No comments:

Posting Terkini