TERTUDUH DIRASAKAN TIDAK AKAN MELARIKAN DIRI: Pemandu kereta api yang menyebabkan kematian 79 orang, Francisco Jose Garzon (tengah), meninggalkan mahkamah di Santiago de Compostela, Sepanyol, awal semalam. - Foto AP
SANTIAGO DE COMPOSTELA (Sepanyol): Pemandu kereta api Sepanyol yang tergelincir kerana dipandu dengan kelajuan yang tinggi sehingga menyebabkan 79 orang terbunuh telah didakwa buat sementara ini atas tuduhan berbilang kes homisid yang dikaitkan dengan kecuaian.
Satu kenyataan mahkamah berkata majistret penyiasat Lius Alaez telah membebaskan Francisco Jose Garzon tanpa ikat jamin.
Kenyataan itu juga berkata Garzon harus hadir di mahkamah sekali setiap minggu dan dilarang meninggalkan Sepanyol tanpa izin.
Garzon tidak dipenjarakan atau dirasakan perlu dikenakan ikat jamin kerana tidak ada satu pihak pun yang terbabit merasakan bahawa dia akan melarikan diri atau cuba menghapuskan bukti, kata kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, lesen pemandu kereta api miliknya juga ditarik balik.
Garzon telah disoal siasat selama dua jam di mahkamah di Santiago de Compostela, sebuah bandar yang terletak ke bahagian barat laut dari tempat berlakunya kejadian nahas tersebut.
Ketika kejadian, Garzon sedang memandu kereta api yang membawa 218 penumpang pada kelajuan melebihi 80 kilometer sejam (kph) ketika mahu membuat selekoh di sebuah kawasan selekoh yang berisiko tinggi pada malam Rabu lalu, sebelum kereta api itu tergelincir dan merempuh ke dinding konkrit dengan beberapa gerabaknya kemudian terbakar.
Agensi perkhidmatan rel Sepanyol berkata pemandu berkenaan seharusnya menekan brek empat kilometer sebelum kereta api itu tiba di kawasan selekoh.
Bagaimanapun, seorang penduduk setempat yang bergegas ke tempat kejadian, dalam satu wawancara yang disiarkan kelmarin, berkata bahawa selang beberapa minit selepas nahas tersebut, Garzon memberitahu beliau yang dia telah menggerakkan kereta api itu terlalu laju sehingga gagal menekan brek.
Penduduk itu, Encik Evaristo Iglesias, berkata beliau dan seorang lagi mengiringi Garzon yang berlumuran darah ke tempat lebih selamat, di mana para penumpang kereta api yang cedera ditempatkan, sementara menunggu perkhidmatan kecemasan tiba.
"Dia memberitahu kami bahawa dia mahu mati," kata Encik Iglesias kepada stesen televisyen Antena 3.
"Dia kata dia sepatutnya brek tetapi gagal (berbuat demikian)," tambah beliau.
Dalam laporan mengenai nahas itu, Antena 3 menunjukkan gambar Encik Iglesias yang mengenakan kemeja merah jambu dan topi sedang membantu pemandu kereta api itu selepas nahas tersebut.
Stesen televisyen itu juga menyiarkan klip Encik Iglesias berusaha membantu mangsa nahas lain yang terselamat.
Dalam wawancaranya, beliau mengimbas kembali kata-kata Garzon: "Saya tidak mahu melihat ini, saya mahu mati."
Demikian apa yang dikatakannya berulang kali, menurut Encik Iglesias lagi.
Encik Iglesias adalah antara mereka yang terselamat, yang merupakan antara saksi awal yang memberikan keterangan bukti kepada polis, kelmarin.
Bilangan mereka yang mati bertambah kepada 79 orang kelmarin apabila seorang penumpang wanita yang cedera meninggal dunia di Hospital Universiti, kata para pegawai. - AP.
No comments:
Post a Comment