MARAH: Seorang lelaki yang membantah keputusan pilihan raya Kemboja berdiri di atas sebuah kereta yang diterbalikkan sambil melaungkan slogan melahirkan kemarahannya kerana mendakwa beberapa nama lesap daripada senarai pilihan raya di pusat mengundi di Phnom Penh, kelmarin. - Foto AFP
PHNOM PENH: Parti pembangkang utama Kemboja semalam menolak keputusan pilihan raya yang diumumkan pemerintah negara itu bahawa parti pimpinan Perdana Menteri Hun Sen telah menang.
Sebaliknya, ia menggesa agar diadakan siasatan terhadap apa yang didakwanya sebagai manipulasi besar-besaran senarai pilihan raya itu.
Bagaimanapun, sebuah kumpulan pemerhati antarabangsa berkata pilihan raya itu bebas, adil dan telus.
Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), yang kempen pilihan rayanya dirangsangkan lagi dengan kepulangan pemimpinnya yang sekian lama hidup dalam buangan, Encik Sam Rainsy, berkata ia mahu satu jawatankuasa siasatan terdiri daripada wakil-wakil parti politik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pihak berkuasa pilihan raya dan pertubuhan bukan milik pemerintah (NGO) dibentuk.
"Terdapat 1.2 juta hingga 1.3 juta pengundi yang namanya lesap dan tidak dapat mengundi. Mereka melenyapkan hak kami untuk mengundi, bagaimana kami mahu mengiktiraf pilihan raya ini?" kata Encik Sam Rainsy dalam satu sidang akhbar.
"Ada nama pengundi hantu, nama-nama pada kertas sahaja, lebih sejuta orang yang mungkin boleh menukarnya menjadi undian. Kami tidak boleh menerima keputusan ini," kata beliau seperti dilaporkan agensi berita Reuters, semalam.
CNRP berkata jawatankuasa siasatan itu harus membuat laporan menjelang 31 Ogos ini.
Kelmarin, pemerintah Kemboja berkata Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Encik Hun Sen memenangi 68 daripada 123 kerusi dalam parlimen.
Ini berbanding dengan 55 kerusi yang dimenangi CNRP.
Keputusan itu sahaja sudah semacam satu kekalahan kepada pemimpin yang disifatkan sebagai bersikap kuku besi itu, yang sudah menjadi perdana menteri selama 28 tahun.
Namun, sebuah kumpulan pemerhati antarabangsa dipetik laporan agensi berita Xinhua News semalam sebagai berkata bahawa pilihan raya Kemboja bebas, adil dan telus.
"Pilihan raya itu bebas, adil dan telus, dan penting sekali, aman, tidak ganas dan berjalan dengan licin," kata Encik Jose de Venecia, jurucakap bagi kumpulan Sidang Parti Politik Antarabangsa Asia (ICAPP) dan Kelompok Tengah Demokrat Asia Pasifik Antarabangsa, dalam satu sidang akhbar.
Beliau berkata ia membuktikan Kemboja sudah matang dari sudut demokrasi dan politiknya. - Agensi.
No comments:
Post a Comment