Pages

Wednesday, June 26, 2013

Kuota Haji: Saudi tolak permintaan Indonesia


MAKKAH Kaaba
MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi kelmarin menolak permintaan pemerintah Indonesia agar kuota haji negara itu ditambah sebanyak 10 peratus bagi musim haji tahun ini, lapor laman berita Republika Online.
Menteri Agama Indonesia, Encik Suryadharma Ali, berkata bahawa pihaknya telah meminta agar pemotongan kuota haji rasmi negara itu sebanyak 20 peratus dibatalkan atau sekurang-kurangnya kuota haji dipotong hanya 10 peratus.
Namun kerajaan Arab Saudi tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Encik Suryadharma, yang telah bertemu Timbalan Menteri Haji Arab Saudi, Encik Hatim Hassan Qadi.
Menurut Encik Suryadharma, dalam pertemuan selama 90 minit itu, pihaknya telah membincangkan tiga perkara utama dengan Encik Hatim - permohonan tambahan kuota; kesan hasil pemotongan kuota rasmi sebanyak 20 peratus dan tambahan kuota haji Indonesia sebanyak 160 peratus pada 2017.
Indonesia diberikan kuota haji sebanyak 210,000 jemaah sesuai dengan dasar kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya 0.1 peratus daripada Muslim di setiap negara boleh menunaikan haji setiap tahun.
Namun, semua negara menghadapi pemotongan kuota haji sebanyak 20 peratus sementara kuota jemaah Arab Saudi sendiri dikurangkan sebanyak 50 peratus kerana kerja-kerja pembangunan di kawasan Masjidil Haram.


Laman berita Republika Online menukil Encik Hatim sebagai berkata bahawa projek pembangunan itu menyebabkan tempat melakukan tawaf mengecil dan ia kini hanya dapat menampung 22,000 orang setiap jam daripada 48,000 orang sejam sebelum ini.
Tambahnya, setelah projek peluasan Masjidil Haram selesai, jumlah jemaah yang boleh melaksanakan ibadah tawaf akan bertambah kepada 105,000 jemaah setiap jam.
Dengan peluasan kawasan Masjidil Haram dijangka selesai pada 2016, Encik Suryadharma berkata beliau berharap Indonesia akan diberikan tambahan kuota haji pada 2017 dengan 370,000 jemaah dibenarkan menunaikan haji tahun itu atau peningkatan 160 peratus daripada kuota haji yang diberikan kepada negara itu.
Mengenai isu kesan pemotongan kuota haji tahun ini ke atas Indonesia, Encik Hatim mengatakan beliau memahami keprihatinan pemerintah Indonesia dan kerajaan Arab Saudi akan berbincang lanjut tentang perkara itu selain menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai wakil Kementerian Haji Arab Saudi, Kementerian Agama Indonesia dan Direktorat Jeneral Penyelenggaraan Haji dan Umrah Indonesia.

No comments:

Posting Terkini