Pages

Monday, June 3, 2013

Cadangan parti tunggal BN hanya bawa kehancuran

Barisan Nasional (BN)
KUALA LUMPUR: Usul parti tunggal Barisan Nasional (BN) hanya sekadar alasan, dan bukannya penyelesaian kepada sokongan untuk BN, kata pojok 'Awang Selamat' dalam akhbar Mingguan Malaysia, semalam.
Menurutnya, idea itu hanya akan menyebabkan BN " tersungkur" selama-lamanya.
Awang, dalam analisis yang dipetik dalam akhbar milik Umno itu, berkata atas muslihat demokrasi dan hak asasi kebebasan, beliau khuatir pelaksanaan idea berkenaan boleh menyebabkan BN terjatuh dalam perangkap lebih besar yang dibuat Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Isu paling mendesak pada pasca PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) ini bukan parti tunggal, tetapi bagaimana Umno dapat mengukuhkan lagi kekuatannya bagi menghadapi PRU14 nanti, dan bagaimana MCA (Persatuan Cina Malaysia) dan Gerakan dapat bangkit dengan membina kekuatan dalaman mereka terlebih dahulu," kata Awang.
Pojok Awang Selamat itu kelihatan masih menuding jari ke arah masyarakat Cina yang memilih DAP dalam PRU13 kerana mahu kuasa "politik Melayu".
"Lebih banyak kita melayan tuntutan kepada keterbukaan lagi mengundang risiko besar. Masyarakat Cina telah memilih DAP untuk menumbangkan kuasa politik Melayu dengan dorongan perjuangan sama rata. Selagi itu tidak tercapai, selagi Melayu tidak bersatu apatah lagi ada pemimpin Melayu diperkudakan, selagi itu kaum Cina tidak menyokong BN," tegasnya.
Menurut rencana itu, transformasi politik tidak boleh dilaksanakan secara meluas dan tergesa-gesa selagi banyak isu kritikal belum ditangani.
"Mengapa perlu bercakap tentang parti tunggal sedangkan untuk mewujudkan konsep sekolah tunggal yang sangat penting keperluannya, ditolak mentah-mentah oleh parti komponen BN sendiri?" kata Awang Selamat.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Jumaat lalu membincangkan usul menjadikan BN parti tunggal, yang membuka keahlian kepada semua kaum tanpa parti komponen.
Malah, Umno juga akan mengadakan perbincangan di peringkat makmal untuk mengkaji keperluan itu, yang telah dicadangkan parti komponen BN - Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP).
Jumaat lalu, bekas editor akhbar New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin, dalam blognya menolak idea itu sambil berkata hanya parti majoriti Cina BN yang "nazak" yang akan menimbangkan cadangan itu, sedang ramai ahli Umno yang masih mahukan parti Melayu-Islam pula akan berpindah kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS).

No comments:

Posting Terkini