PESHAWAR: Serangan bom mencederakan 12 orang di luar pusat-pusat mengundi di barat laut Pakistan, kata polis, tetapi ramai pengundi tidak berasa terhalang mengundi pada pilihan raya bersejarah negara itu semalam.
Di Karachi, 11 orang terbunuh dan 36 cedera di hab kewangan Pakistan itu sedang pilihan raya dijalankan, kata seorang doktor.
Menurut polis, bom itu disasarkan ke arah seorang calon daripada Parti Kebangsaan Awami (ANP), parti sekular utama bagi puak Pashtun, yang bertanding bagi merebut kerusi wilayah Sindh.
Seorang jurugambar agensi berita AFP menyaksikan 11 mayat itu dalam bilik mayat Hospital Jinnah selepas serangan itu.
Pilihan raya Pakistan itu menandakan buat kali pertama berakhirnya tempoh pemerintahan penuh sebuah pentadbiran yang dilantik orang awam di negara itu sejak lima tahun lalu.
Ini selepas negara itu mengalami tiga rampasan kuasa tentera dan empat pemerintahan tentera sebelum ini.
Di Peshawar, bandar utama di wilayah barat laut Pakistan, polis berkata sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal dan disasarkan ke arah pengundi wanita meletup, mengakibatkan lapan orang cedera.
"Motosikal itu diletakkan di luar pusat pengundian wanita," kata Encik Shafiullah Khan, seorang pegawai polis kanan, kepada agensi berita AFP.
Seorang pengebom nekad yang cuba menyasarkan dirinya ke sebuah lagi pusat pengundian di kawasan subbandar Peshawar telah dikesan oleh polis dan dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.
Dia kemudian meletupkan dirinya tanpa mencederakan sesiapa, kata Encik Khan.
"Sasarannya adalah pusat pengundian, yang mana sudah pun diisytiharkan sebagai amat sensitif. Pengebom itu meletupkan dirinya selepas polis mengesannya dan meneriak ke arahnya," kata Encik Khan lagi.
Di daerah Mardan, lagi empat cedera apabila sebutir bom meletup dekat sebuah pusat pengundian.
Polis menyifatkan kejadian letupan itu sebagai "alat (bom) berjangka dengan kekuatan yang rendah".
Namun, meskipun berlakunya beberapa serangan dan ancaman pengeboman nekad daripada kumpulan Taleban, seorang wartawan AFP menyaksikan ramai pengundi ghairah beratur untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara.
Di Badhaber, sebuah kawasan kubu tentera di pinggir Peshawar yang telah berulang kali menghadapi serangan bom, lebih 300 orang beratur di sebuah pusat pengundian yang menunggu giliran mereka untuk mengundi, kata wartawan AFP itu.
Di Peshawar, ratusan orang beratur, ada berkerusi roda, untuk membuang undi.
"Kami sudah pun meluangkan masa yang banyak untuk ditakutkan dengan ancaman-ancaman pengganasan. Hari ini (semalam), kami mahu membuat keputusan dan menguburkan suasana ketakutan ini sama sekali," kata seorang pemilik kedai runcit, Encik Suhail Ahmad, di Peshawar.
Pilihan raya Pakistan diadakan sedang negara itu menghadapi pelbagai masalah - daripada isu pertumbuhan ekonomi yang semakin lembap hingga kepada suasana bekalan tenaga berkurangan dan serangan-serangan oleh kumpulan militan di sana.
Ekonomi Pakistan tumbuh pada kadar purata kurang 4 peratus setahun di bawah pemerintahan Parti Rakyat Pakistan (PPP) sejak lima tahun lalu.
Ia adalah pencapaian lebih rendah berbanding dengan kadar pertumbuhan yang dicapai oleh pentadbiran sebelumnya, yang ada kalanya berligar sekitar kadar tujuh peratus.
Kejadian kekurangan bekalan elektrik pula semakin bertambah hampir seganda di bawah PPP berbanding dengan rejim sebelumnya, manakala serangan kumpulan militan seperti Taleban pula kerap dihadapi penduduk Pakistan di wialayah barat lautnya. - AFP, AP
No comments:
Post a Comment