Pages

Sunday, January 13, 2013

115 maut dalam beberapa serangan bom di Pakistan


115 maut dalam beberapa serangan bom di Pakistan
QUETTA: Satu siri serangan di Pakistan, termasuk serangan bom nekad kembar ke atas sebuah dewan snuker yang digunakan puak Syiah, menyebabkan 115 orang maut, dalam kejadian yang dianggap sebagai antara hari paling berdarah pernah berlaku di negara itu.
Sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh dan 121 lagi cedera apabila dua pengebom nekad meletupkan diri mereka dalam kelab snuker yang penuh sesak di sebuah kawasan di Quetta, sebuah bandar di barat daya Pakistan yang ramai diduduki masyarakat Syiah, kata seorang pegawai polis.
Kumpulan militan berfahaman pelampau puak Sunni, Lashkar-e-Jhangvi, mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan tunggal paling teruk yang pernah dilakukan ke atas puak minoriti Syiah itu, yang membentuk sekitar 20 peratus daripada 180 juta penduduk Pakistan.
Ia juga serangan paling teruk di Pakistan sejak serangan dua pengebom nekad yang membunuh 98 orang di luar sebuah pusat latihan polis di Shabqadar, sebuah bandar di barat laut negara itu pada 13 Mei 2011 - sejurus selepas askar-askar Amerika Syarikat membunuh Osama bin Laden.

Awal kelmarin, sebuah bom diletupkan di bawah kenderaan pasukan keselamatan di kawasan sesak Quetta, menyebabkan 11 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
Sementara itu, dalam insiden ketiga, sebuah bom diletupkan dalam satu perhimpunan keagamaan di Swat, sebuah bandar di lembah barat laut Pakistan, hingga menyebabkan 22 orang terbunuh dan lebih 80 lagi cedera.
Di sebuah kelab snuker, pengebom nekad pertama memulakan serangan dalam bangunan tersebut.
Sepuluh minit kemudian, seorang lagi penyerang meletupkan dirinya ketika polis, kakitangan media dan pasukan penyelamat tiba di tapak kejadian yang sama, kata pegawai polis, Encik Mir Zubair Mehmood.
Setiausaha Dalam Negeri bagi pemerintah wilayah Baluchistan, Encik Akbar Hussain Durrani, memberitahu agensi berita AFP bahawa perangkaan kematian telah meningkat kepada 82 orang, dengan lebih 120 lagi cedera.
Seramai sembilan kakitangan polis, tiga wartawan dan beberapa kakitangan penyelamat adalah antara mereka yang terbunuh, kata para pegawai.
Menurut polis, kelab snuker itu sering dikunjungi kebanyakannya oleh puak Syiah.
Lashkar-e-Jhangvi, menerusi satu panggilan telefon kepada para wartawan setempat, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
Kumpulan tersebut mempunyai hubungan dengan kumpulan-kumpulan AlQaeda dan Taleban , dan adalah antara beberapa kumpulan yang terbabit dalam penculikan dan pemenggalan kepala wartawan Daniel Pearl pada Januari 2002. - AFP.

No comments:

Posting Terkini