Pages

Thursday, December 20, 2012

Pembantu ahli parlimen PKR maut diserang tukang kebun


Pembantu ahli parlimen PKR maut diserang tukang kebun
SIASAT: Polis sedang menyiasat di tempat kejadian, di mana Encik Natchymuthu (sisipan) rebah setelah diserang oleh seorang tukang kebun di Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, Shah Alam, kelmarin. - Foto BHM
SHAH ALAM: Pembantu peribadi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Kapar, Encik S. Manikavasagam, mati dibunuh selepas berlaku pertengkaran dengan seorang penghuni Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, di Shah Alam, kelmarin.
Kejadian itu berlaku pada 8.15 pagi, selepas mangsa, Encik K.S. Natchymuthu, 53 tahun, yang juga pengerusi persatuan penduduk pangsapuri itu terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang tukang kebun yang bekerja menjaga kebersihan persekitaran kawasan kediaman tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Timbalan Superintenden (DSP) Idzham Jaafar, berkata polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudiannya menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di depan pondok pengawal pangsapuri berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kedua-duanya bertengkar mengenai sistem pengurusan di kawasan kediaman ini, sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan. Suspek yang berang bertindak menyerang mangsa dengan menggunakan senjata tajam dan batang besi, dipercayai peralatan berkebun.
"Mangsa parah seluruh badan terutama di bahagian kepala dan belakang badan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," kata beliau, yang ditukil dalam laporan akhbar itu.
Beliau memberitahu akhbar Harian Metro pula bahawa, walaupun parah, mangsa masih sempat melarikan diri menaiki motosikal tetapi rebah berhampiran pondok pengawal keselamatan 30 meter dari tempat dia dipukul
Berikutan itu, DSP Idzham berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun, dipercayai suspek utama kes itu 20 minit selepas kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Encik Manikavasagam ketika dihubungi mengesahkan mangsa adalah pembantu peribadi merangkap pemandunya, yang baru dua bulan dilantik sebagai pengerusi penduduk pangsapuri berkenaan.

No comments:

Posting Terkini