Korea Utara melancarkan peluru berpandu - Gambar file
TOKYO: Tokyo telah mula mengerahkan sistem pertahanan peluru berpandu darat ke udara dan kini meletakkan tenteranya dalam keadaan bersiap sedia menjelang rancangan Korea Utara melancarkan peluru berpandu bulan ini, kata para pegawai semalam.
Penyiar rasmi NHK melaporkan bahawa kapal tentera laut yang membawa peluru berpandu balistik jenis PAC-3 telah meninggalkan pangkalan tentera laut di barat Jepun dan menghala ke gugusan pulau Okinawa di selatan negara itu.
Menteri Pertahanan Jepun, Encik Satoshi Morimoto, Sabtu lalu, telah memerintahkan pihak tentera supaya bersedia menghadapi pelancaran roket itu, dengan seorang jurucakap Kementerian Pertahanan memberitahu agensi berita AFP bahawa "tentera darat, laut dan udara kami kini bersedia mengerahkan pasukan ke Okinawa", kawasan peluru berpandu Korea Utara mungkin melintas.
Akhbar popular Yomiuri Shimbun dan media Jepun yang lain semalam melaporkan Tokyo merancang mengerahkan kapal perang Aegis ke perairan berdekatan.
Setelah mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Perdana Menteri, Encik Yoshihiko Noda, para pegawai Jepun sedang bersiap mengeluarkan arahan awal, seawal Jumaat ini, supaya menembak jatuh roket itu jika ia kelihatan akan jatuh di wilayah Jepun, lapor akhbar perniagaan harian Nikkei.
Semalam, Encik Noda menyeru agar kerjasama lebih erat dijalin antara Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Russia, sebagai persediaan sebelum Korea Utara melancarkan roketnya itu.
Rancangan Korea Utara meneruskan pelancaran roket itu telah dikecam masyarakat antarabangsa.
Pada Sabtu lalu, Korea Utara, sebuah negara komunis, mengumumkan ia akan melancarkan roket antara 10 Disember hingga 22 Disember - pelancaran roket jarak jauh keduanya tahun ini setelah percubaan pelancaran roket pertama pada April lalu gagal.
Ia dipercayai telah memberitahu negara jirannya termasuk Jepun mengenai trajektori roket yang bakal dilancarkan.
Washington dan Seoul telah menggesa Pyongyang supaya membatalkan pelancaran itu sementara Tokyo pula dikatakan menunda rundingan yang sepatutnya diadakan minggu ini dengan Korea Utara.
China, sekutu dan penyumbang dana utama Korea Utara, kelmarin menyatakan ia bimbang mengenai rancangan melancarkan roket itu. - AFP.
No comments:
Post a Comment