Pendirian ulama Umno dipersoal apabila bisu berhubung tohmahan ke atas Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan tuli terhadap kenyataan menghina janggut Nabi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dulu Dr Mahathir mengata tentang janggut Nabi. Siapa pernah lihat janggut Nabi? Mana ustaz Umno? Kenapa tak tegur?,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim depan hampir 1,000 hadirin pada Ceramah Merdeka Rakyat di Kampung Padang Balang, di sini, malam tadi.
“Yang mengata kamu diam, yang tak kata apa-apa, kamu fitnah. Allah maha kaya. Dia tunjuk anak Dr Mahathir ada saham syarikat arak,” tegas Ketua Umum KEADILAN sambil menyifatkan perlakuan Umno itu sebagai hipokrit.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah saman Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog kerana memutarbelit kenyataan beliau berhubung kebebasan beragama.
Manakala Mahathir yang juga bekas Presiden Umno, pernah menyinggung amalan menyimpan janggut oleh Rasulullah SAW dan tidak menarik balik atau memohon maaf berkenaan hal tersebut.
Anwar berkata, menyerang lawan politik dengan kata-kata kesat dan fitnah langsung tidak mencerminkan budaya Melayu beragama Islam yang mempunyai tatasusila mulia.
“Bukan budaya orang Melayu buat kerja khianat,” kata Ketua Pembangkang.
Beliau mempersoal kontrak kerajaan yang dianugerah Perdana Menteri kepada lingkaran kroni yang sama antaranya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Ananda Krishnan dan YTL (Yeoh Tiong Lay).
“Kenapa Najib takut sangat pada Syed Mokhtar, sampai semua kontrak beri pada dia? Hutang Syed Mokhtar sekarang RM40 bilion. Kenapa kontrak Kementerian Pelajaran serah pada YTL? Bekal komputer, IT, E-Learning dan ko-kurikulum pun. Walhal YTL hutang RM50 bilion,” jelasnya.
“Mengapa khazanah negara kamu (kerajaan) buat begini? Bila dekat pilihan raya, dia bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia. Lepas pilihan raya dia ‘broom’ (sapu),” kata Anwar disambut ketawa hadirin.
Turut hadir Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad.
No comments:
Post a Comment