Pages

Monday, October 1, 2012

Sedia terima Suu Kyi jadi pemimpin Myanmar


Aung San Suu Kyi and barrack obama
YANGON: Pemimpin Myanmar, Encik Thein Sein, menyatakan beliau akan menerima pejuang demokrasi, Cik Aung San Suu Kyi, sebagai presiden jika pemimping pembangkang itu dipilih, tetapi menambah bahawa beliau sendiri tidak dapat meminda undangundang yang melarang Cik Suu Kyi mengambil alih kuasa.
Mantan jeneral Thein Sein telah memberi penghormatan yang jarang diberi kepada pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu semasa kunjungan penting beliau ke Amerika Syarikat.
Semasa kunjungan itu Presiden Thein Sein mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang reformis dengan menegaskan negaranya akan terus mengorak langkah menuju demokrasi setelah berdekad-dekad di bawah pemerintahan tentera.
Presiden Thein Sein yang bertemu Cik Suu Kyi di New York, tanda terbaru hubungan mesra antara pemimpin Myanmar tersebut dengan bekas tahanan politik paling terkenal itu, memberitahu rangkaian berita BBC bahawa "tiada masalah" antara mereka.
Encik Thein Sein, yang pernah merupakan tokoh kanan dalam junta yang memerintah Myanmar sebelum ini, telah beberapa kali bertemu Cik Suu Kyi di tengah-tengah usahanya memimpin Myanmar ke arah demokrasi dan kemakmuran ekonomi.
"Jika rakyat menerima beliau, saya juga harus menerima beliau. Seperti yang pernah saya katakan, kami kini bekerjasama," katanya, menurut terjemahan sedutan wawancara Encik Thein Sein dengan penyiar Britain itu yang disiarkan kelmarin.
Tetapi Encik Thein Sein bertegas mengatakan bahawa beliau tidak boleh bertindak sendiri bagi menghapuskan sekatan yang menghalang perjalanan Cik Suu Kyi untuk menjadi presiden.
Myanmar dijangka mengadakan pilihan raya penting pada 2015.
Perlembagaan negara itu, yang pernah dikenali sebagai Burma, pada masa ini menghalang sesiapa yang mempunyai warga asing sebagai saudaramara rapat memegang jawatan tinggi.
Cik Suu Kyi berkahwin seorang ahli akademik Britain dan mempunyai dua anak lelaki yang tinggal di Barat. Suami beliau telah meninggal dunia.
"Saya seorang diri tidak boleh mengubah perlembagaan. Ia bergantung pada keinginan rakyat dan juga keinginan para anggota parlimen," kata Encik Thein Sein.
Belaiu mendapat pujian antarabangsa kerana perubahan pesat yang dilaksana di Myanmar sejak beliau mengambil alih kepimpinan rejim kuasi-awam tahun lalu.
Pelaksanaan pembaharuan di Myanmar membuat negara-negara Barat menggantung atau menarik balik sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap Myanmar sebelum ini.
Sementara itu, Encik Thein Sein juga telah berjanji kepada para pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa beliau akan menangani pergolakan etnik antara penganut Buddha dan masyarakat Islam di wilayah Rakhine, ujar badan dunia itu semalam.
Encik Thein Sein membuat ikrar tersebut dalam pertemuannya dengan pemimpin PBB, Encik Ban Ki-moon, di akhir sidang puncak Perhimpunan Agung PBB.
Semasa sidang puncak tersebut para pemimpin Islam meminta tindakan diambil bagi membantu beribu Muslim kaum Rohingya di wilayah utara Myanmar yang di bawah undang-undang darurat itu yang kehilangan tempat tinggal menyusuli pergolakan tersebut.
Pertempuran antara penduduk Buddha dan minoriti Rohingya di Rakhine Jun lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal. - AFP.

No comments:

Posting Terkini