Pages

Thursday, October 4, 2012

Dua juta pekerja kilang mogok seluruh Indonesia


mogok demonstrasi
MOGOK SEHARI: Pekerja kilang daripada pelbagai kesatuan sekerja mengambil bahagian dalam konvoi motosikal semasa mogok menuntut kenaikan gaji dan menentang pengambilan pekerja kontrak di kawasan perindustrian Cikarang, Jawa Barat, semalam.
JAKARTA: Kesatuan sekerja Indonesia berkata lebih dua juta pekerja kilang melancarkan mogok sehari di seluruh negara semalam bagi menuntut gaji lebih tinggi dan membantah pengambilan pekerja kontrak.
Jurucakap polis kebangsaan, Kolonel Agus Rianto, berkata 750,000 pekerja daripada lebih 700 syarikat di 80 estet perindustrian membanjiri jalan raya dalam bantahan itu.

Kesatuan sekerja menganggarkan lebih dua juta pekerja menyertai mogok itu.
Pengerusi Konfederasi Serikat Pekerja Seluruh Indonesia (KSPSI), Encik Yoris Raweyai, berkata mereka mahu pemerintah meminda undang-undang membenarkan syarikat menggajikan pekerja sementara dengan kontrak setahun tanpa sebarang faedah.
"Mogok hari ini adalah amaran kepada pemerintah supaya bertindak segera dan tegas sebagai respons kepada permintaan pekerja. Jangan salahkan kami jika pekerja hilang sabar dan mengganggu lapangan terbang serta jalan-jalan tol," kata Encik Nining Elitos daripada KSPSI.
Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan Januari lalu bahawa amalan pengambilan pekerja itu tidak mengikut perlembagaan dan mencabuli hak pekerja.
Menurut Kolonel Rianto, sekitar 35,000 anggota polis dan tentera telah dikerah bagi menghalang kekacauan.
Ekonomi Indonesia tumbuh 6.5 peratus tahun lalu dan menarik pelaburan asing bernilai AS$20 bilion ($24.6 bilion).
Namun, pekerja kilang kekal antara yang mendapat gaji paling rendah di Asia dan sering pendapatan mereka lebih rendah daripada pekerja kilang di China atau India.
Pekerja Jakarta tahun ini mendapat kadar gaji minimum yang dinaikkan kepada 1.53 juta rupiah ($196) sebulan.
Ketika kali terakhir mogok besar diadakan Januari lalu, pekerja di Bekasi menghalang sebatang jalan tol ke ibu kota dan menyebabkan lori serta kenderaan lain terperangkap dalam kesesakan selama 10 jam.
Sementara itu, laman berita akhbar The Jakarta Post melaporkan ratusan pekerja yang membawa bendera KSPSI memeriksa kilang-kilang di kawasan perindustrian sekitar daerah Pulo Gadung di Jakarta Timur dan menuntut pekerja berhenti bekerja dan menyertai mogok.
"Kami diberitahu hari ini akan berlaku bantahan, tetapi kami takut turut serta kerana bimbang syarikat akan memecat kami," kata Cik Nila, yang telah bekerja di sebuah syarikat kosmetik selama dua tahun, sambil menangis. - AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini