Pages

Sunday, September 16, 2012

AS siap hadapi lagi bantahan Dunia Islam


 Amerika siap hadapi lagi bantahan Dunia Islam
BANTAH FILEM ANTI-ISLAM: Pegawai polis bergelut dengan anggota Persatuan Peguam Mahkamah Tinggi Jammu dan Kashmir semasa satu tunjuk perasaan terhadap Amerika berkaitan filem anti-Islam di Srinagar semalam. - Foto REUTERS

Letak semua misi diplomatik di luar negara dalam keadaan berjaga-jaga
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, bersiap bagi kemungkinan tunjuk perasaan ganas tercetus lagi di beberapa bahagian Dunia Islam selepas solat Jumaat menyusuli serangan ke atas Konsulat Amerika di Benghazi, Libya, yang mengakibatkan duta besar dan tiga kakitangan diplomatik Amerika terbunuh.
Di Timur Tengah dan negara-negara Afrika Utara, waktu selepas solat Jumaat sering dijadikan masa mengadakan bantahan.

Tunjuk perasaan berhubung sebuah video anti-Islam telah pun berlaku di Mesir dan Yaman, dan para pegawai membuat spekulasi pelampau Libya yang lengkap bersenjata telah mempergunakan bantahan serupa di Benghazi untuk menyerang konsulat Amerika, yang turut membunuh beberapa pengawal keselamatan Libya.
Amerika telah meletak semua misi diplomatik luar negaranya dalam keadaan berjaga-jaga, sementara Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, jelas mengutuk video itu sedang pihak pentadbiran Amerika cuba mencegah lebih banyak keganasan daripada berlaku di kedutaan dan konsulatnya.
"Pemerintah Amerika tiada kaitan langsung dengan video itu. Kami menolak sepenuhnya kandungan dan mesej video itu. Bagi kami, bagi saya secara peribadi, video itu menjijikkan dan patut dikeji," kata Cik Clinton kepada media sebelum bertemu Menteri Luar Mahgribi, Encik Saad-Eddine Al-Othmani, di Jabatan Negara Amerika.
Pihak berkuasa Amerika mengesyaki serangan ke atas bangunan konsulat di Benghazi, yang menjadi sasaran cubaan serangan Jun lalu, mungkin hanya terkait secara kebetulan dengan isu filem anti-Islam itu.
Mereka juga menegaskan tiada amaran awal atau maklumat risik yang memberi isyarat ancaman di Libya memerlukan tahap keselamatan dipertingkat, sekalipun pada hari ulang tahun serangan pengganas 11 September 2001.
Dalam satu wawancara kelmarin, anggota Jawatankuasa Risik Dewan Amerika, Encik Adam Schiff, berkata maklumat risik sebelum serangan berlaku akan diperiksa untuk "melihat adakah sebarang cara menjangkakan keganasan ini," atau sebarang insiden keganasan.
Tetapi, menurut beliau, tumpuan kini diberi pada usaha "mencari siapa bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan".
Sehingga pagi kelmarin, tiada maklumat risik yang menunjukkan apa yang berlaku di Benghazi ialah sesuatu yang dirancang, kata dua pegawai Amerika yang mendengar taklimat tentang siasatan insiden tersebut.
Pegawai risikan percaya ia lebih merupakan serangan spontan dengan golongan militan mengambil kesempatan daripada tunjuk perasaan yang berlaku untuk melancarkan serangan. - AP.

No comments:

Posting Terkini