Sunday, March 11, 2012
Mantan ketua Mossad beri amaran atas usul serang tapak nuklear Iran
WASHINGTON: Mantan ketua agensi perisikan Israel, Mossad, melahirkan keprihatinan berkaitan usul menyerang tapak nuklear Iran.
Dalam wawancara dengan rancangan 60 Minutes di saluran CBS yang bakal disiarkan Ahad ini, Encik Meir Dagan turut ditukil sebagai berkata bahawa beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, untuk campur tangan jika perlu.
Encik Dagan bagaimanapun menambah bahawa beliau juga percaya rejim Iran, termasuk Presiden Mahmoud Ahmadinejad, 'sangat rasional' dalam menangani krisis itu.
'Bagi menyerang Iran sebelum anda meninjau semua pendekatan lain bukan satu cara yang betul.
'Dan (Presiden Obama) telah jelas menyatakan tindakan ketenteraan merupakan salah satu pilihan dan beliau tidak akan membenarkan Iran menjadi sebuah negara nuklear.
'Berdasarkan pengalaman, saya biasanya percayakan Presiden Amerika,' kata Encik Dagan.
Pentadbiran Obama sebelum ini menegaskan sekatan ketat ke atas Iran dan usaha diplomatik perlu diberi masa sebelum sebarang serangan dilancarkan.
Pemimpin Israel bagaimanapun berkata masanya semakin suntuk bagi melancarkan serangan itu.
Isnin lalu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata sekatan ke atas Iran tidak mendatangkan sebarang kesan dan 'kita semua tidak mampu menunggu lebih lama'.
Encik Dagan, yang bersara pada Januari tahun lalu selepas bertugas sebagai pengarah Mossad selama lapan tahun, sebelum ini beberapa kali memberi amaran bahawa serangan ke atas Iran tidak akan menjejas program nuklear negara itu malah sebaliknya menyebabkan rantau itu dilanda konflik.
Dalam wawancara dengan 60 Minutes, Encik Dagan berkata beliau tidak percaya yang Iran tergesa-gesa menghasilkan bom nuklear kerana ia sedar akan kesannya.
Ditanya sama ada beliau lebih suka Israel tunggu dan membiarkan Amerika bertindak dulu untuk menyerang Iran, Encik Dagan berkata:
'Jika saya, saya lebih suka orang lain yang melakukannya, saya selalu lebih suka jika Amerika yang melakukannya.' - AFP.
Labels:
antarabangsa,
Nuklear
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment