Thursday, March 1, 2012
Abu Bakar dakwa hukuman penjara 15 tahun dikekal atas arahan AS
JAKARTA: Pimimpin kumpulan pengganas, Abu Bakar Bashir, menyalahkan Amerika Syarikat atas tindakan Mahkamah Tinggi Indonesia mengekalkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya pada Isnin lalu.
Jun tahun lalu, mahkamah rendah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara tetapi berikutan rayuan di Mahkamah Tinggi, hukuman itu dikurangkan sehingga sembilan tahun kerana kekurangan bukti dan usia yang lanjut.
Ditemui wartawan sebelum menjalani pembedahan katarak di sebuah hospital di Jakarta semalam, Abu Bakar, 73 tahun, sekali lagi menggesa para pengikutnya agar menentang Amerika 'sehingga ia dapat dimusnahkan'.
'Amerika adalah musuh Islam, jadi keputusan mahkamah itu adalah atas arahan Amerika. Kita harus terus menentang Amerika sehingga ia dapat dimusnahkan,' katanya kepada wartawan.
Minggu lalu, Amerika menyenaraikan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) yang diasaskan oleh Abu Bakar pada 2008 sebagai pertubuhan pengganas dan menyenaraikan tiga pemimpinnya sebagai pengganas.
Menurut kenyataan Jabatan Negara Amerika, kumpulan itu bertanggungjawab merancang pelbagai serangan terhadap orang awam, polis dan anggota ketenteraan di Indonesia.
Selain itu, kumpulan tersebut juga disyaki terlibat dengan beberapa jenayah, termasuk rompakan bank bagi mengumpul dana untuk membiayai pergerakan mereka serta terlibat dengan serangan bom di sebuah gereja di Jawa Tengah dan sebuah masjid di Jawa Barat tahun lalu.
Semalam, sembilan penyokong JAT telah berhimpun di depan Kedutaan Amerika di Jakarta menyerahkan surat bantahan.
'Amerika tidak mempunyai hak menyenaraikan kami sebagai kumpulan pengganas. Kenyataan mereka adalah satu fitnah,' kata jurucakap JAT, Encik Son Hadi. -- Agensi.
Labels:
antarabangsa,
Asian,
Islam,
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment