Thursday, March 1, 2012
2,000 tong gas musnah dalam kebakaran
KAJANG: Berpuluh-puluh tong gas memasak melantun setinggi 10 meter apabila stor penyimpanan gas memasak yang dipercayai beroperasi tanpa izin musnah dalam kebakaran di Jalan Semenyih-Mantin, malam kelmarin.
Kejadian berlaku sekitar 8.30 malam ketika pekerja melakukan pengisian semula gas daripada lori tangki ke dalam lebih 2,000 tong gas dalam stor berkenaan.
'Saya melihat puluhan tong gas meletup dan melantun setinggi bangunan tiga tingkat disusuli api yang marak. Malah, bunyi letupan seolah-olah di medan perang.
'Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya berlari semula ke jalan sebelum polis dan bomba tiba di tempat kejadian,' kata seorang saksi, Encik Tazrul Tahir, 25 tahun.
Encik Tazrul, seorang petani, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah di Kampung Sentosa kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Encik Mohd Sani Harul, berkata lima kereta bomba dan 30 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Api dapat dikawal dalam sejam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rashid Abdul Wahab, pula berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, 2,000 tong gas musnah dalam kebakaran itu bersama treler, lori sarat dengan tong gas, sebuah Proton Waja dan motosikal.
'Hasil siasatan awal yang dijalankan, didapati stor penyimpanan gas ini didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan hingga mengakibatkan kebakaran dan letupan.
'Sehingga ini, kami sedang mengesan pekerja dan pemilik stor yang dipercayai menghilangkan diri sejurus kebakaran berlaku,' katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati punca kebakaran dipercayai akibat kebocoran paip gas.
Difahamkan, kilang tersebut sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan kebakaran itu adalah yang pertama kali berlaku. -- Harian Metro, BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment