Pages

Tuesday, February 21, 2012

Visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing dihenti


JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara itu bagi membendung penyalahgunaan pas tersebut, demikian lapor beberapa media setempat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik akhbar Utusan Malaysia semalam sebagai berkata pihaknya hanya mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementeriannya.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu sudah dilakukan bersama Jabatan Imigresen dua bulan lalu, dan pemberian pas dihentikan kecuali mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Malaysia.

Mereka yang dikesan terlibat dalam kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya merupakan pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di institut pengajian tinggi yang bukan di bawah kelolaan kementeriannya.


Mengikut rekod polis, tidak banyak pelajar yang berada di bawah kelolaan kementeriannya terlibat dalam kegiatan jenayah.

'Pihak pengurusan IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada penuntut asing yang mengabaikan pelajaran supaya kementerian dapat menyiasat sekiranya mereka terbabit dengan kegiatan negatif,' kata beliau selepas merasmikan Majlis Penutup Program Mesra Ilmu Siri Tiga anjuran Fakulti Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini, kelmarin.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian sebagai mengulas saranan pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, yang mengesorkan agar kementeriannya menyemak dasar pemberian visa dan pas lawatan pelajar bagi menghindari Malaysia daripada menjadi hab dadah antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, Datuk Alwi Ibrahim, dipetik agensi berita rasmi Bernama semalam sebagai berkata bahawa langkah terbaru itu baik dalam memastikan pelajar asing yang masuk ke negara itu tidak menyalahgunakan visa dan pas sosial yang diberikan.

'Pelaksanaannya akan dilakukan oleh pihak Imigresen bersama KPT setelah mengadakan perbincangan dengan kementerian itu sebelum ini,' katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Jabatan Penjara (Zon Utara 2) di Jitra, Kedah, semalam. 

No comments:

Posting Terkini