Pages

Thursday, February 16, 2012

PM: Perlu teliti soal pilihan raya kecil


Oleh
Nurul Dayana Simangoon

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong berkata pilihan raya merupakan urusan yang serius dan beliau perlu pertimbangkan dengan teliti sebelum mengumumkan sebarang tarikh bagi pilihan raya kecil.

Ini kerana di bawah undang-undang tidak terdapat tempoh yang ditetapkan bagi mengumumkan satu pilihan raya kecil.

'Pilihan raya merupakan urusan yang serius. Kita baru mengadakan pilihan raya umum kurang setahun yang lalu. Kini kawasan undi perseorangan (SMC) Hougang telah dikosongkan disebabkan apa yang dilakukan Encik Yaw Shin Leong, dan dengan cara Parti Pekerja (WP) menangani perkara itu.

'WP telah menghampakan pengundi Hougang.


'Sama ada atau bila perlu diadakan pilihan raya kecil di Hougang, saya akan timbangkan perkara itu dengan teliti.'Terdapat banyak lagi isu melibatkan agenda nasional.

'Di bawah undang-undang tidak terdapat masa khusus bagi saya perlu mengumumkan satu pilihan raya kecil,' jelas Perdana Menteri lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan WP yang memecat Anggota Parlimen (AP) Hougang, Encik Yaw Shin Leong yang dituduh menjalin hubungan sulit dengan salah seorang anggota parti itu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Khaw Boon Wan, berkata bahawa beliau terkejut dengan perkembangan yang berlaku semalam.

'Awal dari itu Encik Yaw dan WP enggan mengulas mengenai desas-desus melibatkan Encik Yaw, kemudian Encik Yaw meletakkan jawatan sebagai bendahari WP.

'Sabtu lalu, kepimpinan WP, termasuk Setiausaha Agung WP, Encik Low Thia Khiang, sama-sama menyokong Encik Yaw, dan kini WP pecat Encik Yaw dan menyalahkan semuanya kepada Encik Yaw,' jelas Encik Khaw lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND), malam tadi.

Ketika ditanya pendekatan atau strategi PAP bagi memenangi kawasan undi Hougang, Encik Khaw berkata beliau telah pun menjelaskannya sewaktu konvensyen PAP baru-baru ini.

'Saya jelaskan kami akan menyemak keputusan pilihan raya, kami tidak pernah melupakan penyokong atau pengundi Hougang.

'Cawangan PAP di Hougang telah bergiat aktif sejak beberapa lama dan mereka dipimpin oleh Encik Desmond Choo,' jelas Encik Khaw lagi.

Encik Choo bertanding pada pilihan raya umum lalu di bawah tiket PAP tetapi ditewaskan oleh Encik Yaw.

Namun Encik Khaw berkata terpulanglah kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong menentukan pilihan raya kecil.

No comments:

Posting Terkini