Pages

Monday, February 20, 2012

BN yakin menang lebih banyak kerusi


BALIK PULAU (Pulau Pinang): Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan wujud gelombang baru di kalangan rakyat yang kembali menyokong gagasan kerajaan BN.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara petanda gelombang baru tersebut ialah rakyat sering bertanyakan bila pilihan raya umum akan diadakan.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas semasa mengadakan program turun padang, rakyat seolah-olah tidak sabar ingin mengundi BN kerana mahukan masa depan yang lebih terjamin.
'Kita dapati sokongan orang Melayu bertambah, masyarakat Cina mulai sedar dan masyarakat India kembali menyokong BN.

'Asas kepada gelombang baru itu kerana rakyat telah mula menyambut baik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam melaksanakan pembangunan ekonomi demi kepentingan rakyat,' katanya di sini, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin berkata rakyat mulai sedar bahawa kerajaan BN bertindak untuk kepentingan rakyat bagi jangka panjang dan sentiasa mengambil perhatian terhadap keperluan rakyat.

'Saya yakin sokongan rakyat itu bukan di negeri ini sahaja, malah di tempat lain juga.

'Sudah sampai masanya bagi kita melihat jangka panjang apa yang kita mahu supaya hidup lebih terjamin dan selamat kerana selama 54 tahun kerajaan BN telah membuktikan sebagai kerajaan yang membela nasib rakyat,' ujarnya.

Tan Sri Muhyiddin memberitahu BN sentiasa turun padang untuk mendengar masalah dan rintihan rakyat.

Jelasnya, melalui usaha itu, BN dapat menentukan bebanan hidup yang dihadapi rakyat walaupun parti pembangkang sering mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak mampu membantu rakyat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib pula ditukil sebagai berkata beliau memerlukan mandat daripada rakyat untuk terus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

'Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), saya telah pun menerima mandat dan sebagai Presiden Umno, saya juga telah menerima mandat daripada parti dan kali ini saya perlukan mandat daripada rakyat,' katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa PRU-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi bukan untuk dirinya, tetapi adalah untuk masa depan Malaysia.

'Saya sendiri tidak tahu bila pilihan raya itu akan diadakan, namun saya ingin tegaskan bahawa ia bukan soal diri saya tetapi masa depan rakyat. Justeru saya harap rakyat dapat membuat pilihan yang betul,' katanya. -- Mingguan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini