Pages

Tuesday, September 27, 2011

1,700 mayat banduan Libya ditemui


KUTIP SISA MAYAT: Seorang lelaki mengutip sisa-sisa tulang para tahanan Penjara Abu Salim, yang bertaburan di sebuah kubur besar di kawasan Tripoli. -- Foto REUTERS
TRIPOLI: Kerajaan baru Libya semalam menemui saki baki mayat 1,700 banduan yang dihukum pada 1996 di Penjara Abu Salim dalam satu kubur besar di ibu negara itu.

Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Encik Khalid Sharif, berkata mereka menemui kubur tempat kesemua banduan ditanam, sekali gus membuktikan bahawa pemimpin Libya yang diguling, Encik Muammar Gaddafi, melakukan jenayah kejam.

Penemuan ngeri itu berlaku sedang beratus askar Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menggempur kampung halaman Encik Gaddafi di Sirte dari timur dan jet pejuang tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) membedil bandar persisiran itu bagi hari kedua berturut-turut.


Seorang ahli jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengenal pasti mayat di kubur besar itu, Encik Salim Al-Farjani, merayu agar bantuan antarabangsa diberikan kepada pihaknya.

'Kami meminta organisasi luar dan persatuan antarabangsa membantu kami dalam usaha mengenal pasti kesemua mayat yang ditemui ini,' katanya.

Menurut Encik Farjani, beliau telah melihat sendiri tempat mayat tahanan Penjara Abu Salim ditemui.

Katanya, beliau melihat tulang-tulang manusia bertaburan di kawasan itu.

Beliau turut menggambarkan perkara amat buruk yang telah dilakukan ke atas mayat itu, iaitu asid dituang ke atas mayat agar semua bukti pembunuhan beramai-ramai itu dapat dihapuskan.

Tunjuk perasaan pertama di Libya tercetus di Benghazi Februari tahun ini apabila keluarga-keluarga tahanan Abu Salim, membantah penangkapan peguam mereka.

Ia membawa kepada kejatuhan Encik Gaddafi, bulan lalu.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa telah bertahun-tahun menggesa rejim Encik Gaddafi supaya berterus terang tentang nasib banduan yang terbunuh di Penjara Abu Salim. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini