Kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan projek pembangunan dan pembinaan instrastuktur untuk rakyat diurus dan ditadbir dengan baik.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pasukan ini dianggotai oleh tenaga profesional terdiri daripada jurutera, juru ukur bahan (QS) dan pegawai teknikal yang berpengalaman, tahu latar belakang kontraktor yang dipilih serta paling penting mereka bijak menilai kos sebenar dan kepentingan sesuatu projek awam.
“Hasilnya, kita akan dapat menentukan projek diurus dengan baik. Ini memberi ‘kawalan dan imbangan” atau “check and balance’ dalam cara pemberian kontrak.
“Rakyat akan tahu setiap projek yang dilakukan setimpal dengan wang rakyat yang telah dibelanjakan,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, pasukan profesional ini telah pun bergerak dengan memantau projek-projek pembangunan di kawasan undangan negeri menggunakan peruntukkan RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri.
Sebagai projek perintis, pasukan hanya ini memantau projek-projek pembangunan di tiga PBT iaitu Kajang, Petaling Jaya dan Kuala Selangor.
“Kita akan menilai pemantauan yang dilakukan pasukan ini supaya keberkesanannya dapat ditingkatkan dan ditambah baik, sebelum dipeluaskan ke semua PBT,” katanya.
Menurutnya, usaha ini juga untuk memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat di samping menaikkan tahap profesionalisme penjawat awam.
Berhubung isu status Gereja Methodist Damansara Utama, Menteri Besar menjelaskan perkara itu akan dimasukkan dalam laporan lengkap yang sedang disiapkan oleh JAIS.
Katanya, laporan penuh itu akan menerangkan bidang kuasa JAIS dalam membuat pemeriksaan tempoh hari, amalan-amalan atau persediaan awal sebelum pemeriksaan dan langkah-langkah yang dilakukan JAIS mengikut undang-undang untuk mencegah penyebaran agama lain kepada orang Islam.
“Laporan lengkap ini saya akan dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mendapat khidmat nasihat baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor,”
Dikeluarkan oleh,
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment