Sunday, August 14, 2011
Beijing kerah unit komando kawal
BEIJING: China mengerah unit antipengganasan elitnya ke wilayah barat laut Xinjiang selepas satu siri serangan membawa maut di sana, kata media milik pemerintah negara itu, semalam.
Unit Komando Harimau Bintang Salju dijangka menjalankan 'misi-misi antipengganasannya' di Kashgar dan Hotan, yang terjejas dengan kejadian keganasan baru-baru ini, kata akhbar harian China Daily, sambil memetik seorang jurucakap bagi pasukan polis wilayah.
Unit berkenaan adalah satu kumpulan antipengganasan elit di bawah Angkatan Bersenjata Rakyat China, yang mempunyai tanggungjawab termasuk mengawal rusuhan dan penghapusan bom serta menjalankan tindakan wajar terhadap kejadian rampasan.
Kehadiran unit elit di Xinjiang itu bertujuan mengawal keselamatan wilayah tersebut selepas berlakunya serangan-serangan bulan lalu dan menjelang satu konvensyen dagangan pada bulan depan, tambah jurucakap polis itu.
Pergolakan etnik berlaku di wilayah itu sejak beberapa tahun lalu. Penduduk minoriti puak Uighurnya - sebahagian besarnya Muslim- mendakwa pemerintah China telah menindas mereka dan mereka menentang puak Han di situ.
Ketegangan tercetus sekali lagi bulan lalu ekoran dua serangan lelaki bersenjatakan pisau serta pertempuran antara puak Uighur dengan pihak polis menyebabkan lebih 30 orang terbunuh. -- AFP.
Labels:
Asian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment