Pages

Monday, July 11, 2011

Tiga kawasan di Jepun dilanda tsunami kecil


Warta Kerajaan Rakyat - TOKYO: Satu tsunami kecil melanda kawasan pantai Pasifik di utara Jepun ekoran daripada gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter semalam.

Menurut Agensi Kaji Cuaca Jepun, tsunami yang berketinggian 10 sentimeter itu melanda bandar pelabuhan Ofunato pada 10.44 pagi (waktu tempatan).

Awal dari itu, agensi tersebut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan Iwate, Miyagi dan Fukushima selepas satu gegaran gempa melanda kawasan darat Honshu pada 9.57 pagi (waktu tempatan).

Tiada kemusnahan dilaporkan setakat ini.

Gempa semalam turut dirasakan di Tokyo, yang terletak sekitar 400 kilometer dari pusat gempa, dengan bangunan di ibu kota itu dilaporkan bergoyang.


Pada mulanya, Agensi Kaji Cuaca Jepun meramalkan satu tsunami berketinggian 50 sentimeter boleh berlaku di kawasan-kawasan yang terjejas.

Gempa semalam melanda di kawasan yang sama apabila gempa besar berlaku pada 11 Mac lalu.

Dalam bencana itu, gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter telah menyebabkan gelombang tsunami hingga mengakibatkan 22,000 orang terkorban atau hilang.

Bencana itu turut menyebabkan kerosakan pada loji Fukushima Dai-ichi yang mencetuskan krisis nuklear.

Semalam, para penduduk di sepanjang pantai Laut Pasifik diberi amaran supaya berpindah ke tempat perlindungan yang lebih tinggi.

'Perubahan pada paras air laut mungkin berlaku dalam tempoh beberapa jam mendatang. Harap berhati-hati apabila melakukan kegiatan di pantai, seperti berenang dan menangkap ikan,' kata Agensi Kaji Cuaca Jepun dalam satu sidang akhbar semalam.

Namun, amaran tsunami itu ditarik balik pada 11.45 pagi (waktu tempatan).

'Pada mulanya, kami menjangka satu gelombang besar akan melanda,' kata seorang penduduk di kawasan Kesennuma, Encik Miyagi, yang diwawancara stesen televisyen NHK.

Setakat ini, pengendali loji nuklear Tokyo Electric Power Company (Tepco) berkata tiada kerosakan berlaku ke atas loji Fukushima Dai-ichi ekoran daripada tsunami kecil itu. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini