DAP meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil menjelaskan mengapa usaha menjayakan dasar 30 peratus pernyertaan wanita tidak dimulakan dalam sektor awam terlebih dahulu.
Ketua Wanita Kebangsaan DAP Chong Eng mempersoalkan kenapa kerajaan Barisan Nasional seolah-olah mahu memaksa sektor swasta mengadakan kuota 30 peratus itu sedangkan sepatutnya sektor awam yang perlu melaksanakannya.
Menurutnya, tiga pendekatan yang diumumkan Shahrizat itu hanya indah khabar dari rupa kerana ia mencerminkan kerajaan tidak mempunyai keazaman politik untuk mengarusperdanakan wanita dalam sektor awam.
“Mungkin, Kabinet yang membuat keputusan itu, yang mana dipenuhi dengan lelaki, bimbang dengan kuasa wanita yang semakin terpelajar, berkelayakan tinggi dan lebih cekap,” katanya kepada Roketkini.
Chong berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Shahrizat hari ini yang mahu melaksanakan tiga pendekatan dasar 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.
Tiga pendekatan yang diwar-warkan Menteri tersebut ialah:
ñ Mewujudkan latihan khusus untuk wanita yang berpotensi memegang jawatan itu.
ñ Mewujudkan pangkalan data wanita yang berkelayakan.
ñ Meningkatkan pemahaman pembuat keputusan di dalam syarikat tentang kepentingan wanita menjadi sebahagian daripada anggota lembaga pengarah.
Langkah kerajaan BN itu dilihat seolah-olah mahu menumpang kejayaan sektor swasta yang sudah pun memberi pengiktirafan kepada wanita yang layak ditempatkan di kedudukan tinggi, lebih awal daripada pengumuman kerajaan.
Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam mahu lebih ramai ahli politik faham tentang gender untuk membolehkan mereka membuat keputusan di peringkat tertinggi supaya sektor awam terselamat dari ‘kepentingan diri’ sesetengah ahli politik.
Katanya kerajaan pusat dan semua kerajaan negeri perlu meramaikan Ahli Parlimen, Adun, Exco, dan Menteri yang terdiri dari kalangan wanita yang cukup kelayakan mereka untuk melakukan perubahan dalam sektor awam.
“Masalahnya sekarang ialah bila semakin tinggi jawatan dalam sektor awam, semakin kurang wanita,” tambahnya.
Beliau memberi contoh penjawat awam wanita di peringkat gred 41 ke bawah sudah cukup 30 peratus tetapi bagi gred 44 ke atas peranan wanita belum diberi perhatian serius.
Beliau turut menjelaskan bahawa kuota itu hanya bersifat sementara, dan jika lebih ramai wanita yang layak diberi peranan pada masa depan, ia perlu dilaksanakan berdasarkan kebolehan mereka tanpa mengira kuota lagi.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw pula mendesak kerajaan melaksanakan strategi mengarusperdanakan peranan wanita di dalam sektor pendidikan.
“Jika wanita menguasai pendidikan, kita akan lihat bagaimana mereka mencapai kecemerlangan di dunia termasuk bidang korporat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata DAP sedang menunggu dan melihat setakat mana usaha kerajaan untuk memupuk para wanita mencapai kejayaan di peringkat tinggi.
Menurutnya, untuk mencapai kejayaan wanita, semua halangan seperti diskriminasi dan prasangka buruk mestilah dihapuskan terlebih dahulu. – Roketkini.
No comments:
Post a Comment