Pages

Friday, May 6, 2011

‘Umno semakin gelisah raih sokongan Melayu’

Warta Kerajaan Rakyat - PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar berkata Umno kian gelisah untuk meraih sokongan Melayu sehingga sanggup mengajak partinya menyertai Barisan Nasional (BN) dan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).
Menurut beliau, ekoran kegelisahan Umno itu mereka menggunakan pendekatan membuli kaum Cina manakala Melayu pula ditipu semata-mata untuk meraih sokongan.

“PAS merupakan sebuah parti yang lebih matang dan lebih ‘futuristik’ berbanding Umno dan akan terus kekal bersama Pakatan,” terang beliau kepada FMT ketika dihubungi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, “ekoran dari keputusan pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari, BN kehilangan banyak kerusi kerana MCA dan SUPP kalah kepada DAP.
“Maka mereka (Umno) mula gelisah dan bimbang kehilangan sokongan daripada kaum Cina mahupun orang Melayu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujar beliau.

Umno ugut Cina


Umno kata beliau, membawa pendekatan membuli Cina dengan taktik mengugut dan mengancam apabila Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika mereka tidak menyokong BN maka tiada lagi menteri dari kalangan mereka dalam kabinet.
“Mereka tahu sokongan daripada kaum Cina semakin mengecil dan terhakis maka mereka tipu dan menakut-nakutkan orang-orang Melayu dengan memainkan sentimen ‘kuasa’ orang-orang Cina melalui DAP.
“Persoalannya jika Umno yakin mempunyai sokongan Melayu kenapa perlu ‘kalut’ ajak PAS sertai mereka?” soal beliau.
Ditanya sama ada isu ajakan menyertai Umno bakal diutarakan dalam Muktamar Jun depan, Mahfuz berkata pendirian ahli PAS adalah kukuh untuk menolak sebarang perpaduan bersama Umno-BN.
“Saya tidak bimbang walaupun wujud percubaan untuk menimbulkan suasana seperti ini oleh Umno lebih-lebih lagi Muktamar PAS akan diadakan dalam masa sebulan. Jelas Umno kini diserang fobia kehilangan kuasa,” katanya.
Mengulas mengenai pendirian beliau sama ada mahu mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden, Mahfuz berkata, perkara itu akan diumumkan pada 15 Mei nanti.

Eksploitasi Umno
Menyentuh soal perpaduan Umno dan PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu pula berkata, tindakan Umno itu satu eksploitasi bagi mengeruhkan perpaduan dalam parti tersebut.
“Umno melihat trend dan kekuatan pengundi bukan Melayu bukan seperti dulu maka mereka (Umno) cuba mendapatkan sokongan daripada orang Melayu melalui PAS.
Apa yang mereka cuba lakukan……….untuk berbaik-baik dengan PAS ataupun memburukkan PAS di mata orang Melayu,” soal beliau.
“Tetapi Umno memang tidak boleh dipercayai kerana mereka akan mempertikaikan kewibawaan PAS semata-mata untuk menarik sokongan pengundi Melayu,” katanya yang dihubungi FMT.
Perdana Menteri dalam ucapannya di Kuala Terengganu 30 April lalu, mengajak PAS menyertai BN dan meninggalkan rakannya DAP atas alasan kononnya Umno memperjuangkan agama, bangsa dan negara manakala DAP menolak Islam.




No comments:

Posting Terkini