Pages

Sunday, April 24, 2011

Satelit pertama Singapura jadi sumber kebanggaan


Warta Kerajaan Rakyat : Singapura - SELEPAS bertahun tertangguh, satelit buatan Singapura yang pertama akhirnya berjaya dilancarkan ke angkasa lepas minggu ini. Ia 'menumpang' di atas roket milik India yang dilancarkan dari India juga. Satelit Singapura yang dinamakan X-Sat itu sebesar peti sejuk dan seberat sepuluh setengah kantung beras 10 kilogram. Dengan pelancarannya, Singapura menjadi antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai satelitnya sendiri berlegar di angkasa lepas.



Biar lambat asal selamat. X-Sat dilancarkan hanya selepas sembilan tahun projeknya dibina. Ia gagal dilancarkan pada 2007 dan tahun lalu. Ia dibangunkan Universiti Teknologi Na nyang (NTU) dan badan kajian pertahanan Singapura, DSO National Laboratories, dengan taksiran kos lebih $40 juta. Sungguhpun mungkin ada pihak menyoal perlunya pulau kecil ini mempunyai program satelitnya sendiri, projek X-Sat berbaloi malah wajar disusuli.

Pertama, kerana Singapura selaku pulau kecil berjiwa besar tidak sekali-kali mampu ketinggalan dalam perlumbaan merintis medan baru, termasuklah perihal teknologi angkasa lepas. Negara seperti China, Amerika Syarikat dan Israel kini mempunyai program satelit masing-masing dengan India dan China kini berkejaran menghantar angkasawan ke bulan menjelang 2020.

Kedua, selama tiga tahun X-Sat berada di angkasa lepas, ia berperanan memetik gambar untuk meninjau penghakisan tanah dan perubahan sekitaran selain memantau kebakaran hutan dan pencemaran laut. Ketiga, teknologi angkasa lepas telah melahirkan pelbagai ciptaan yang berguna seperti mesin dialisis ginjal, alat pengimbas CAT dan peralatan elektrik tanpa wayar. Keempat, industri angkasa lepas yang berbilion dolar nilainya banyak bergantung pada kerja penyelidikan dan pengembangan (R&D) - selaras dengan visi Singapura menjadi hab R&D.

Tahun ini dunia menyambut setengah abad angkasawan Russia, Yuri Gagarin, terbang di angkasa lepas yang mencetuskan perlumbaan sejagat. Penjelajahan angkasa lepas terus menjadi obor sinar harapan pada manusia. Semoga satelit X-Sat juga menjadi sumber kebanggaan dan menyemarakkan semangat anak watan. - cyberita

1 comment:

Anonymous said...

Malaysia lagi hebat! hantar Ankasawan ke angkasa lepas untuk tidoq...hehe

Posting Terkini