Pages

Sunday, April 24, 2011

PM cadang lantik Zainul jadi Speaker


Singapura - PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semalam mendedahkan bahawa beliau bercadang melantik Encik Zainul Abidin Rasheed sebagai Speaker Parlimen yang akan datang.

'Pada fikiran saya, andainya tiada sebarang kejutan, dan sekiranya beliau dipilih semula (dalam pilihan raya umum), saya bercadang untuk melantik beliau,' kata Encik Lee.

Encik Zainul, yang kini Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), dikenal pasti sebagai calon yang sesuai dan berkebolehan untuk menggantikan Speaker sekarang, Encik Abdullah Tarmugi, yang akan bersara daripada politik.


Dalam wawancara dengan Berita Harian di Istana semalam, Perdana Menteri memuji Encik Abdullah yang telah menjalankan tugas selaku Speaker dengan baik dan adalah tidak mudah mencari penggantinya.

'Beliau (Encik Zainul) akan menjadi Speaker yang baik... Beliau dihormati, dapat bergaul baik dengan masyarakat, amat popular di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan sebagai Speaker, beliau dapat bertegas dan pada masa yang sama bersikap adil,' kata Encik Lee.

Encik Zainul, 63 tahun, menceburi politik dalam 1997 dan kini Anggota Parlimen GRC Aljunied.

Selain dalam kementerian, pengalaman politik beliau adalah selaku Mayor sekitar lapan tahun.

Sebelum memasuki politik, beliau adalah Editor Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) dan pernah menjadi Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki.

Perdana Menteri memuji kelakonan Encik Zainul di Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Contohnya, beliau mewakili Singapura di banyak mesyuarat antarabangsa, bercakap dengan yakin dan mempertahankan kedudukan Singapura.

Dalam konteks sumbangan Encik Zainul dan Encik Abdullah itu, Encik Lee menarik perhatian bahawa meskipun soalan-soalan tentang apa yang dilakukan oleh pemimpin Melayu tidak boleh dielakkan, hakikatnya para pemimpin Melayu, termasuk AP Melayu, telah membuat banyak sumbangan nasional.

Menjawab soalan sama ada akan ada lebih daripada seorang menteri Melayu, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan itu dan bergantung pada sama ada beliau boleh mendapat orang yang layak dilantik.

Encik Lee selanjutnya berkata beliau memahami keprihatinan masyarakat Melayu mengenai isu-isu sosial, pendidikan, integrasi dan juga mengenai peluang pekerjaan, terutama dalam sekitaran yang bersaing bukan saja di kalangan rakyat, malahan secara global.

Isu-isu yang menjadi keprihatinan itu sedang ditangani, malah banyak kemajuan telah dicapai oleh masyarakat.Prestasi orang Melayu semakin baik dan mereka kini berada dalam kedudukan lebih baik.

Menurut beliau, masyarakat Melayu pada umumnya menyokong pemerintah dan maklum balas menunjukkan bahawa sokongan itu akan berterusan.

Menjawab pertanyaan apakah pandangan beliau sendiri terhadap masyarakat Melayu, Encik Lee berkata mereka berupaya meneruskan haluan kemajuan mereka, sambil menghargai kemajuan yang telah dicapai.

Mengatasi cabaran dan berusaha mengejar kemajuan adalah satu perjalanan jangka panjang, ia bukan boleh dicapai dalam sekelip mata.

Kata beliau: 'Akan sentiasa ada risiko pada tahap tertentu; ada yang berkata sesuatu perkara itu mungkin terlalu perlahan... kenapa ia tidak berlaku segera, dan kenapa kita belum dapat sampai ke tahap yang diinginkan; apakah silap kita? Mungkin jika pemerintah memberi lebih sokongan atau memberi lebih sumber, kita akan mencapai kemajuan lebih besar...

'Hakikatnya, tiada jalan dekat. Sumber-sumber ada disediakan, namun daya usahalah yang membuat perbezaan, dan sejauh ini kita amat bernasib baik kerana para pemimpin Melayu memainkan peranan yang bertanggungjawab dan konstruktif... Saya tidak akan berasa kecewa melihat cabaran dan tugas yang masih perlu diatasi. Kerana ia adalah tugas yang amat besar.'

Beliau selanjutnya berkata cabarannya adalah mengekalkan usaha gigih sedemikian.Langkah demi langkah pencapaian dapat dibaiki.

Berhubung persoalan sama ada masyarakat Melayu mempunyai peluang-peluang untuk lebih maju dalam sistem Singapura kerana ramai kini semakin berpelajaran dan berkelayakan, Encik Lee berkata:

'Sudah semestinya. Ia adalah satu sistem terbuka. Dan jika anda berkebolehan dan berpotensi, kami akan cuba sedaya upaya memberi anda peluang dan membolehkan anda menunjukkan apakah lagi yang boleh anda lakukan lebih daripada apa yang telah anda capai.'

No comments:

Posting Terkini