Pages

Thursday, January 27, 2011

PM Russia ikrar balas dendam


MOSCOW: Perdana Menteri Russia, Encik Vladimir Putin, berikrar membalas dendam atas kejadian pengeboman nekad yang membunuh 35 orang di sebuah lapangan terbang Moscow, dalam pendirian tegasnya terhadap pengganasan yang menguatkan kuasanya tetapi juga meningkatkan serangan berdarah di Russia.

Tahap keselamatan yang longgar juga dipersalahkan dalam serangan di dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Domodedovo itu yang mencederakan 180 orang.

Televisyen NTV menunjukkan gambar apa yang dikatakan kepala salah seorang suspek pengebom yang terpenggal. Penyiasat berkata ujian DNA perlu dilakukan bagi mengenal pasti lelaki berusia 30-an tahun itu.


Sebuah sorotan video dua minit, yang disiarkan di televisyen seluruh negara dan dikatakan diambil daripada kamera televisyen litar tertutup, menunjukkan satu kebakaran serta para penumpang yang jatuh atau melarikan diri apabila dewan itu dipenuhi asap.

Belum ada sesiapa mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Tetapi pemisah dari Chechnya dan kawasan lain di wilayah Caucasus, yang sudah 15 tahun menentang pihak berkuasa Russia, disyaki melakukan pengeboman itu.

Pemberontak Chechen mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan, termasuk satu kejadian pengeboman nekad berkembar yang membunuh 40 orang di sistem kereta api bawah tanah Moscow tahun lepas.

Pada 2000, Encik Putin memperoleh kuasa atas dasar ikrarnya bagi memastikan pemberontak Chechen diburu dan dibunuh secara kejam.

Namun, walaupun Chechnya berjaya ditawan, Encik Putin masih tidak dapat menghapuskan pemberontakan yang merebak di sebahagian besar Caucasus.

Satu tindakan keras menerbitkan reaksi dalam bentuk serangan ke atas polis dan pihak berkuasa keselamatan Caucasus hampir setiap hari serta menimbulkan ketakutan di Moscow.

Sementara itu, Presiden Russia, Encik Dmitry Medvedev, diberi tugas menarik pelaburan luar ke Russia dalam misi ke Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, semalam. Namun, serangan bom itu menjejas misinya dan melambatkan keberangkatannya sehari.

Kelmarin, dalam ucapan tegasnya kepada pegawai perkhidmatan Keselamatan Federal, Encik Medvedev menyalahkan kebanyakan daripada mereka dan memerintahkan mereka mencari orang yang bertanggungjawab.

Beliau juga menyalahkan polis pengangkutan dan memerintahkan kementerian dalam negerinya supaya mengenal pasti pegawai yang patut diberhentikan atau diberi sekatan lain. Pegawai-pegawai lapangan terbang juga dipersalahkannya.

Encik Medvedev juga mengarahkan pemeriksaan lebih ketat ke atas penumpang dan bagasi di semua pusat pengangkutan utama.

Encik Putin dan Encik Medvedev kelmarin melawat sekitar 117 mangsa serangan bom di hospital.

Menurut Kementerian Kecemasan, mereka yang mati termasuk seorang daripada setiap satu negara berikut: Britain, Jerman, Austria, Ukraine, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan. Seramai 16 yang mati adalah warga Russia dan 12 orang lagi belum dikenal pasti.

Sembilan warga asing turut dirawat di hospital. -- AP.

No comments:

Posting Terkini