Pages

Thursday, January 27, 2011

Penduduk Papua tolak taraf autonomi istimewa


JAYAPURA (Indonesia): Ribuan penduduk Papua semalam mengadakan bantahan sambil menolak taraf autonomi istimewa wilayah di Indonesia itu dan meminta diadakan satu pungutan suara bagi menentukan masa depan wilayah tersebut.

Sambil mengusung keranda kayu yang diselimuti kain hitam dengan kata-kata 'Autonomi Istimewa Telah Mati di Papua', lebih 1,000 aktivis, pelajar dan pemimpin gereja di wilayah itu berhimpun sebagai menunjuk bantahan di hadapan bangunan parlimen wilayah di Jayapura, kata para saksi.

'Merdeka bagi Papua, tolak autonomi istimewa!' laung mereka.

'Indonesia penjajah, Indonesia penindas, Indonesia pencuri,' tambah para pembantah itu.


Mereka juga menggesa supaya dewan tertinggi pemimpin puak yang dinamakan Majelis Rakyat Papua (MRP) dibubarkan.

'MRP tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki kebajikan penduduk Papua. Masyarakat kami miskin dalam tanahnya sendiri,' kata penyelaras bantahan itu, Encik Selpius Bobi.

'Kami menolak autonomi istimewa kerana itu dasar pemerintah Indonesia yang tidak pernah disokong oleh orang tempatan.

'Kami mahukan pungutan suara yang membolehkan kami menentukan nasib kami,' tambahnya.

Taraf autonomi Papua diperkenalkan pada 2001 selepas kejatuhan pemerintahan diktator tentera Presiden Suharto.Antaranya taraf itu mengalihkan penguasaan kebanyakan pendapatan cukai kepada pemerintah wilayah.

Bagaimanapun, ramai rakyat Papua berkata ia gagal memperbaiki hak asasi mereka dan para aktivis menuduh tentera Indonesia bertindak kasar terhadap penduduk asli majoriti Melanesia di wilayah timur Indonesia itu.

Satu keputusan mahkamah tentera Isnin lalu menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan ke atas tiga askar Indonesia kerana kesalahan mendera dan ingkar perintah. Ini selepas satu klip video menunjukkan mereka mendera orang awam di Papua.

Hukuman itu, bagaimanapun, dikritik oleh Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi sebagai terlalu ringan. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini