Pages

Friday, January 7, 2011

Panggil sidang DUN terlebih dahulu

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sebarang pindaan rang undang-undang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak perlu dipersembahkan kepada Sultan Selangor tetapi dibentangkan pada sidang DUN terlebih dahulu.
“Pertama, kita perlu panggil DUN bersidang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan SUK, di sini petang tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul berikutan anggapan bahawa sebelum sebarang pindaan rang undang di buat maka perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hendaklah diperolehi terlebih dahulu.

Berhubung kuasa memanggil dewan bersidang katanya, perkara itu terpulang kepada budi bicara Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Kim.
Ditanya tentang titah Sultan Selangor yang mahukan cadangan itu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Baginda, Khalid berkata ia
hendaklah dimaklumkan kepada Speaker terlebih dahulu.

Pelantikan Khusrin tidak dimaklumkan
Dalam hal ini, Khalid menerangkan bahawa beliau juga tidak dimaklumkan mengenai Datuk Mohamad Khusrin Munawi telah diterima sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.
Katanya, bekas SUK Datuk Ramli Mahmud juga tidak memaklumkan perkara itu (pelantikan Khusrin) kepadanya walaupun telah menerima surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Saya tidak diberitahu mengenai isu ini. Datuk Ramli tidak memaklumkan kepada saya. Faktanya, Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek
Hassan) memilih Khusrin tanpa pengetahuannya,” kata beliau.
Ketika ditanya sama ada wujud unsur sabotaj dalam isu itu, Khalid berkata “terpulang bagaimana anda menulisnya”.
Selangor lantik ahli panel pilih calon
Semalam Khalid berkata beliau telah melantik Speaker Datuk Teng, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Datuk Dr Hassan Ali dan Adun Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar sebagai ahli panel bagi memilih calon SUK.
Sebaliknya kata beliau, seorang penjawat awam negeri telah bertindak mengemukakan senarai calon lain, tanpa pengetahuan dan tanpa merujuk kepadanya.
Sementara itu, beliau berkata, dua individu telah dilantik sebagai penasihat undang-undang negeri. Mereka ialah peguam Datuk Param
Cumaraswami dan juga pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.
“Kepakaran mereka diperlukan bagi membantu dalam memberi nasihat berhubung cadangan rang undang-undang yang bakal dibentang pada sidang Dun akhir Januari ini,” katanya.

No comments:

Posting Terkini