PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang baru Datuk Mohamed Satim Diman menyatakan keyakinan dan keazamannya untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.
“Tanggungjawab ini cukup besar namun saya akan memberikan yang terbaik. Saya akan rangka strategi dan gerakan jentera untuk tawan semula Selangor. Sudah terbukti kita ada rekod yang baik selama memerintah Selangor sebelum ini.
“Kita tidak mahu jadi seperti Pakatan Rakyat, dalam soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru pun mereka sudah buat kecoh,” katanya.
Satim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang, dilantik sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang kini berdepan dengan kes mahkamah.
Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Umno Selangor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Bangunan Umno Selangor malam tadi.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor kerana memberi kepercayaan kepada saya atas pelantikan ini.
Umno Selangor lebih kuat
“Saya yakin Umno Selangor akan lebih kuat dan matlamat kita hanya satu, untuk rampas semula negeri ini daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada FMT.
Dalam mesyuarat itu juga, bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed turut dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Negeri yang baru bagi menggantikan tempat beliau.
Rombakan ini dibuat selepas Mohd Khir melepaskan jawatannya bulan lalu.
Semalam, Mohd Khir didakwa atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini pada harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu dibeli oleh syarikat Ditamas dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.
Barisan Nasional kehilangan Selangor kepada Pakatan Rakyat selepas hanya memperoleh 21 daripada 56 kerusi Dun.
Pada Jun tahun lalu, beberapa laman blog pro-pembangkang mendakwa Satim bersedia melepaskan semua jawatan politiknya kerana didakwa tidak memperlihatkan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat serta kecewa dengan pucuk pimpinan Umno.
Beliau bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut dan muncul pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri selepas itu.
Satim dijangka mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang secara rasmi pada sidang Dun khas yang akan diadakan akhir bulan ini.
Sidang khas itu diadakan bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi memberikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar terlibat secara terus dalam pelantikan tiga jawatan eksekutif tertinggi di negeri itu, iaitu SUK, Setiausaha Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
No comments:
Post a Comment