Pages

Saturday, January 22, 2011

Lau Weng San: Kenyataan Noh Omar tidak bertanggungjawab

Saya mendapati kenyataaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor serta Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar berkenaan dengan sidang khas Dewan Negeri berkenaan dengan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 adalah tidak bertanggungjawab.

Noh Omar (gambar kiri) berkata bahawa walaupun ahli-ahli dewan negeri BN akan menghadiri sidang dewan khas tersebut, tetapi mereka tidak akan menyokong pindaan berkenaan kerana pindaan itu akan "mengurangkan lagi kuasa sultan dan meluaskan kuasa menteri besar".

Kenyataan Noh Omar adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.


Pertama, pindaan yang dicadangkan adalah untuk memulihkan kepada kandungan asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 berkenaan dengan pelantikan ketiga-tiga orang Ex-Officio kerajaan Selangor, yakni Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Oleh kerana isu kandungan pindaan ini masih di bawah embargo sehingga ke tarikh persidangan, maka saya tidak boleh mengemukakan secara terperinci apa yang akan dibahas pada hari persidangan.

Jikalau pindaan yang dicadangkan hanya memulihkan muka bentuk asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, maka persoalan bahawa kuasa Sultan dihakis dan kuasa Menteri Besar dikembang tidak timbul sama sekali.

Jika isu ini tertimbul, maka adakah Noh Omar turut menuduh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 asal yang dirangka oleh kerajaan BN dan Perikatan mencabuli hak dan kuasa Raja Melayu?  Sudah tentu tidak sama sekali!  Pindaan perlu dilakukan sejajar dengan semangat federalisme dan prinsip Raja Berperlembagaan.  Kuasa perlantikan perlu dikembalikan kepada pihak negeri, iaitu Sultan sebagai Ketua Negeri dan Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri.

*Kenyataan media oleh Lau Weng San (gambar kanan) selaku ADUN Kampung Tunku-DAP.

No comments:

Posting Terkini