BERTAMBAH PULIH: Keuntungan SIA yang positif sekali gus mengatasi ramalan purata $232 juta yang dibuat oleh para pengamat. Ia dirangsang oleh permintaan penerbangan yang lebih memberangsangkan. -- Foto BLOOMBERG
SINGAPORE Airlines (SIA) Ltd mencatatkan keuntungan lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun ini yang berakhir bulan lalu berikutan permintaan bagi penerbangan dan kargonya yang semakin pulih.
Keuntungan bersih bagi syarikat penerbangan kedua terbesar di dunia berdasarkan nilai pasaran itu mencapai $253 juta berbanding kerugian sebanyak $307.1 juta setahun lalu, menurut kenyataan SIA semalam.
Ini sekali gus mengatasi ramalan purata $232 juta yang dibuat oleh para pengamat.
Ini juga merupakan keuntungan suku tahunan yang tertinggi sejak Disember lalu apabila ia meraih keuntungan sebanyak $404 juta.
'Tempahan awal menandakan pemulihan pada jumlah penumpang dan pulangan pada suku pertama yang lalu akan mampu bertahan bagi baki tahun ini.
'Selain itu, terdapat tanda-tanda bahawa permintaan bagi kargo yang meningkat baru-baru ini mungkin dapat dikekalkan buat masa terdekat, walaupun kadar pertumbuhan mungkin akan lebih perlahan sedikit,' kata kenyataan itu.
Pendapatan firma itu tumbuh 20.7 peratus kepada $3.47 juta, mencerminkan faktor penumpang dan pulangan yang lebih mantap.
Perbelanjaan SIA turut meningkat berbanding setahun lalu tetapi pada kadar lebih perlahan, sebanyak 0.8 peratus, ekoran perbelanjaan ke atas minyak yang lebih tinggi.
SIA berkata keuntungan operasi bagi suku tersebut juga positif. Ia mencecah $251 juta setelah mengalami kerugian sebanyak $319 juta tahun lalu.
Menurut SIA yang dimiliki oleh Temasek Holdings, jumlah penumpang yang diterbangkan naik 5.5 peratus kepada empat juta sedang industri pelancongan pulih daripada kemelesetan ekonomi.
Ia juga mampu mengisi secara purata 78.4 peratus tempat duduk bagi suku itu, berbanding 71.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Jumlah purata yang dibayar seorang pelancong untuk terbang sejauh satu kilometer atau pulangan penumpang turut meningkat sebanyak 14.7 peratus.
Minggu lalu, SIA mengumumkan rancangan untuk menambah lebih banyak penerbangan ke bandar-bandar termasuk Los Angeles, Sydney dan Moscow didorong oleh permintaan yang melonjak.
Firma-firma penerbangan global masih 'merawat luka' setelah mengalami prestasi paling buruk akibat kegawatan ekonomi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment