Pages

Thursday, July 22, 2010

KETUA AUDIT NEGARA BERBOHONG?

Oleh: MUTALIB M.D

KETUA Audit Negara Malaysia, Tan Sri Dato' Setia Haji Ambrin Bin Buang, didakwa berbohong kepada rakyat Sabah dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Audit Palsu berhubung kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah sejak 2004.

Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna, Azizul Sanarul ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata, kedudukan Kewangan Negeri Sabah terutama pada 2008 tidak menunjukkan keadaan sebenar kerana tidak menyatakan Liabiliti dan disediakan dengan niat ‘Malafide’ sehingga membebankan pembayar cukai dengan ‘hutang terlindung’ akibat ‘kecuaian’ kerajaan negeri Sabah.

“Jika kita kaji begitu banyak kes pampasan dan gantirugi yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah mencabar atau mengemukakan rayuan. Oleh itu kerajaan negeri begitu banyak berhutang, tetapi tidak dimasukkan ke dalam laporan Ketua Audit Negara. Kita mahu tahu kenapa?,” tanya Azizul yang kesal kerana 212 Ahli Parlimen di Malaysia gagal mengesan pemalsuan ini sedangkan ianya dibentangkan setiap tahun di Parlimen.

Kata Azizul, kecenderungan Kerajaan Negeri membatalkan Konsesi Pembalakan atau memberikan kawasan yang tidak berkayu menyebabkan kerap disaman dan mereka yang memberi atau membatalkan kelulusan ‘dilepas dan dibebaskan’ daripada sebarang ‘Surcaj’ sebaliknya rakyat menanggung beban hutang akibat pembatalan atau pemalsuan kawasan pembalakan.

Azizul merujuk kepada Laporan Audit 2008 yang menyatakan Analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2008 adalah baik. Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik berbanding tahun 2007. Kedudukan kecairan tunai sangat baik di mana aset semasa mampu menampung tanggungan semasa.

Dalam Laporan Audit 2008 juga kata Azizul, Ketua Audit Negara memperakui bahawa Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mengalami peningkatan sejumlah RM490.73 juta atau 31.39% daripada RM1.56 bilion pada tahun 2007 menjadi RM2.05 bilion pada tahun 2008.

Kata Azizul lagi, Ketua Audit Negara juga memperakui bahawa Akaun Hasil Disatukan mencatatkan peningkatan dalam lebihan pendapatan bagi tahun 2008 sejumlah RM637.48 juta menjadikan baki terkumpul meningkat 36.02% kepada RM2.41 bilion pada tahun 2008 berbanding lebihan sejumlah RM585.50 juta pada tahun 2007.

Walaupun kutipan hasil turut meningkat sejumlah RM562.21 juta atau 20.23% menjadi RM3.34 bilion pada tahun 2008 namun kata Azizul, ianya tidak menyatakan keadaan sebenar kerana perbelanjaan mengurus, Akaun Kena Bayar, tunggakan hasil, tunggakan bayaran balik pinjaman boleh dituntut dan tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Persekutuan telah meningkat pada tahun 2008.

Menurut Azizul lagi, Para 4.1 Laporan Ketua Audit Negara 2008 tidak menyerlahkan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri kerana Mengikut Lembaran Imbangan, jumlah Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2008 adalah berjumlah RM2.05 bilion. Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai sejumlah RM87.29 juta dan pelaburan sejumlah RM1.97 bilion. Kumpulan Wang Disatukan terdiri daripada 3 akaun iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan. Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2008 berbanding tahun 2007.

Analisis Nisbah Semasa, kata Azizul, adalah untuk mengukur kemampuan Kerajaan Negeri menjelaskan jumlah tanggungan semasa dengan membandingkan aset semasa dengan liabiliti semasa. Aset semasa Kerajaan Negeri terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan.

Manakala tanggungan semasa, kata Azizul, terdiri daripada Akaun Kena Bayar, Deposit dan Tunggakan Bayaran Balik Hutang Awam. Analisis Audit pada tahun 2008 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah lebih daripada 1 iaitu 2.27:1.

“Di atas kertas, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kecairan tunai yang sangat baik di mana aset semasa berjumlah RM2.05 bilion mampu menampung tanggungan semasa berjumlah RM905.26 juta. Namun kenapa tidak mengambil kira jumlah hutang yang wajib dibayar kepada beberapa syarikat sebagaimana yang diputuskan Mahkamah?,” tanya Azizul yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi kenapa Laporan Audit 2008 tidak menyatakan kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Negeri Sabah.

Baca seterusnya di sini

No comments:

Posting Terkini