Pages

Thursday, June 24, 2010

Thaksin gesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat

TOKYO: Kerajaan Thailand harus mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat untuk membuktikan ia mempunyai mandat rakyat selepas tercetusnya protes yang menyebabkan 90 orang mati di ibu kota negara itu, kata peguam kepada bekas perdana menteri Thai yang kini diburu polis, Encik Thaksin Shinawatra, semalam.

Encik Robert Amsterdam, yang mewakili Encik Thaksin, berkata cara kerajaan Thai menangani protes kumpulan 'Baju Merah' menunjukkan ia tidak mendapat sokongan rakyat dan takut terhadap kepulangan Encik Thaksin, yang kini digelar pengganas oleh pihak berkuasa Thai atas dakwaan membangkitkan pergolakan itu.

Encik Thaksin diguling dalam satu rampasan kuasa tentera Thai pada 2006.

Pilihan raya baru tuntutan utama 'Baju Merah', yang terdiri daripada penduduk miskin kawasan bandar dan luar bandar, aktivis demokrasi dan ahli politik yang setia kepada beliau.

Encik Thaksin, yang kini hidup dalam buangan di Eropah, menghadapi tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi masih mempunyai pengikut setia kerana dasar-dasar populisnya.

Kerajaan Thai telah mengeluarkan waran tangkapan terhadap Encik Thaksin atas dakwaan pengganasan, langkah yang disifatkan Encik Amsterdam sebagai satu kesilapan taktikal.

'Saya fikir mereka telah membuat kesilapan serius dalam menggelar beliau seorang pengganas. Saya fikir mereka telah mengurangkan peluang mereka mendapat sebarang negara menyerahkan beliau kerana ada kemungkinan beliau menghadapi hukuman mati bagi dakwaan itu,' ujarnya.

'Mereka takut kepada Thaksin. Mereka takut pada orang yang dipilih rakyat,' tambah Encik Amsterdam. -- AP.


No comments:

Posting Terkini