JAKARTA: Bapa mentua warga Malaysia yang ditembak mati di Indonesia, Noordin Mohammed Top, dihadapkan ke mahkamah Jakarta semalam dan boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun kerana pernah membantu dia mengelak tangkapan.
Baharudin Latif, yang dikenali juga sebagai Baridin, 55 tahun, ditangkap lima bulan selepas serangan-serangan nekad ke atas Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di Jakarta pada Julai tahun lalu, yang mengorbankan tujuh orang.
'Defendan dengan sengaja menawarkan bantuan dan kemudahan kepada pelaku pengganasan dengan menyembunyikan daripada polis dalang pengganas paling dikehendaki, Noordin Mohammed Top,' kata wakil pendakwaan, Encik Firmansyah, kepada mahkamah.
Beliau berkata Baharudin anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) sejak 1995 dan memimpin sebuah cawangannya di wilayah Jawa Timur pada 2000.
'Defendan diperkenal kepada Noordin Mohammed Top pada 2005 apabila dia mengambilnya di bandar Pemalang di Jawa Tengah dan melindunginya di rumahnya di Cilacap di Jawa Tengah,' tambah Encik Firmansyah.
Noordin kemudian menikahi anak perempuan Baharudin, Arina Rahmah, pada 2006 dan mereka mempunyai dua anak, menurut kumpulan pakar International Crisis Group (ICG).
Selepas bernikah Noordin tinggal di rumah Baharudin. Rahmah turut ditahan tetapi menafikan pernah mengetahui identiti sebenar suaminya. Anak lelaki Baharudin, Ata Sabiq Alam, 24 tahun, turut dibicarakan tetapi secara berasingan atas kesalahan sama.
Noordin terbunuh dalam satu serbuan polis September lalu. Dia memimpin sebuah kumpulan yang dinamakan Al-Qaeda di Nusantara dan bertanggungjawab ke atas beberapa serangan di Indonesia, termasuk pengeboman hotel dan bom trak di kedutaan Australia di Jakarta pada 2004.
Perbicaraan Baharudin dijalankan sehari selepas seorang suspek pengganas yang setia kepada Noordin, Abdullah Sunata, ditangkap bersama dua lagi suspek dalam satu serbuan di Jawa Tengah kelmarin. Seorang lagi suspek terbunuh dalam operasi itu.
Bahan letupan dan maklumat yang menunjukkan ada komplot menyerang kedutaan Denmark di Jakarta dilaporkan ditemui dalam serbuan itu tetapi ini belum dapat disahkan. -- AFP.
Friday, June 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment