SEOUL: Korea Utara menyifatkan dakwaan bahawa ia telah menyerang kapal perang Korea Selatan sebagai sesuatu yang 'diada-adakan' dan memberi amaran akan bertindak untuk 'berperang besar-besaran' terhadap apa saja langkah menghukumnya.
Ia mengeluarkan amaran itu sedang pembantah di Seoul mengoyakkan gambar pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-Il, selepas kumpulan penyiasat berbilang negara melaporkan bahawa kapal perang Korea Selatan yang karam dekat sempadannya dengan Korea Utara pada 26 Mac lalu diserang torpedo hingga menyebabkan 46 anak kapalnya terbunuh.
Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan (NDC) Korea Utara, badan pembuat keputusan tertinggi negara komunis itu, dalam satu kenyataan memberi amaran ia akan bertindak terhadap sebarang insiden kecil yang berlaku di sempadan dua negara itu dengan satu 'pukulan kuat tanpa belas kasihan'.
'Tentera dan rakyat kami akan bertindak segera terhadap sebarang hukuman dan tindak balas dan apa-apa sekatan yang mencabuli kepentingan negara kami dengan beberapa bentuk langkah tegas, termasuk perang besar-besaran,' kata NDC.
Korea Utara berkata ia akan menghantar para penyiasatnya sendiri ke Korea Selatan untuk memeriksa dakwaan bukti yang ada, tetapi menyifatkan siasatan Seoul sebagai sesuatu yang sengaja diada-adakan.
Kira-kira 50 orang berhimpun di luar kementerian pertahanan Korea Selatan semalam untuk membaca satu kenyataan yang menyifatkan serangan itu sebagai 'satu pembunuhan kejam'.
Mereka turut mengoyakkan gambar mendiang pengasas Korea Utara, Encik Kim Il-Sung, Encik Kim Jong-Il dan anak lelaki Encik Kim Jong-Il yang bakal menggantikannya, Encik Kim Jong-Un.
'Tiada sebarang alasan keselamatan yang boleh diberi bagi tindakan itu dan ia adalah satu pembunuhan kejam,' kata para aktivis itu mengenai insiden tersebut, sambil menggesa Seoul mengambil langkah lebih tegas terhadap Pyongyang.
Sementara itu, pemimpin dunia mengutuk sikap Korea Utara.
Hasil siasatan yang memutuskan Korea Utara menyerang kapal perang Korea Selatan itu 'amat membimbangkan', kata ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Encik Ban Ki-moon, di New York.
'Setiausaha Agung dimaklumkan tentang hasil siasatan terhadap peristiwa mengaramkan kapal tentara laut Cheonan Korea Selatan dan beliau menerimanya dengan hati yang berat dan kebimbangan serius,' kata satu kenyataan daripada pejabatnya, yang menambah Encik Ban akan terus memantau perkembangan isu itu.
Perdana Menteri Jepun, Encik Yukio Hatoyama, dan Menteri Luar Britain, Encik William Hague, turut menyelar tindakan Korea Utara itu dalam kenyataan masing-masing. -- AFP.
Friday, May 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment