Pages

Wednesday, May 12, 2010

Aquino bakal Presiden baru Filipina

PRESIDEN BARU?: Senator Benigno Aquino, sedang menunggu giliran mengundi di ladang Hacienda Luisita di Tarlac City, Filipina, kelmarin. -- Foto BLOOMBERG


MANILA: Senator Benigno Aquino semalam berikrar akan 'memimpin melalui teladan' sebaik saja mengambil alih jawatan sebagai Presiden Filipina, selepas keputusan terkini menunjukkan beliau bakal menang dengan majoriti besar.

Bagaimanapun dalam wawancara dengan AFP, beliau tidak mendakwa mencapai kemenangan, tetapi memilih menunggu keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina.

'Saya mahu memimpin melalui teladan. Kita bercakap mengenai rasuah. Saya sudah membuat ikrar secara terbuka, saya tidak akan mencuri,' kata Encik Aquino.

'Saya akan memburu mereka yang mencuri,' tegas beliau dalam satu sidang akhbar di wilayah Tarlac, utara Filipina.

Menurut laporan, Encik Aquino, 50 tahun, meraih 40 peratus daripada 37.5 undi, dengan pesaing rapatnya, mantan presiden Joseph Estrada, meraih 25 peratus, sewaktu hanya beberapa juta saja undi yang belum dikira semalam.

Encik Estrada, 73 tahun, enggan mengaku kalah sehingga keputusan muktamad diumumkan.

Namun, calon presiden yang lain sudah pun mengucapkan tahniah kepada Senator Aquino, bekas pelajar mantan presiden Gloria Arroyo, yang kemudian menjadi pengkritik beliau paling lantang.

Encik Aquino semalam berkata beliau mahu memastikan Cik Arroyo disiasat atas dakwaan menipu undi pada pilihan raya 2004, apabila satu pengiraan undi menunjukkan beliau yang bakal menggantikan Cik Arroyo.

Encik Aquino berkata meskipun beliau tidak membuat sebarang penilaian mengenai Cik Arroyo, mantan presiden itu patut disiasat berhubung satu panggilan telefon yang dibuatnya kepada pesuruhjaya pilihan raya pada pilihan raya presiden 2004.

'Yang jelas, dakwaan berlaku penipuan semasa pilihan raya 2004 tidak pernah diselesaikan,' kata Encik Aquino.

'Benarkah ada perbualan serupa itu? Benarkah ia berlaku? Jika ia berlaku, siapa yang bertanggungjawab?' tanya beliau.

Semalam, pasaran saham di Filipina melonjak 3.85 peratus dan nilai mata wang peso meningkat lebih 1 peratus sewaktu Encik Aquino dilaporkan mendahului calon presiden yang lain.

'Satu mandat yang kukuh akan menjamin penerusan dasar. Inilah yang diinginkan rakyat. Mereka tidak suka keadaan tidak menentu seperti yang berlaku di Britain,' kata Encik Song Seng Wun, seorang pakar ekonomi serantau di CIMB Research, di Singapura.

'Sokongan popular diharap dapat meningkatkan keyakinan kepada ekonomi,' tambah beliau.

Bagi mengekalkan keyakinan, Encik Aquino mesti mengotakan janji pilihan raya untuk membasmi rasuah dan mengawal defisit belanjawan dengan memotong perbelanjaan dan memungut lebih banyak cukai.

Persoalannya, adakah Encik Aquino, yang tidak menyerlah sebagai anggota Kongres, berupaya bertindak tegas membawa pembaharuan dan mengawal defisit yang dijangka mencapai 300 bilion peso ($9.29 bilion) tahun ini.

Menurut Encik Aquino, yang menjadi keutamaan beliau ialah meningkatkan keberkesanan pemungutan cukai dan memotong perbelanjaan yang tidak perlu.

'Kita harus membuang perkara yang tidak perlu dalam pentadbiran ini,' tegas beliau kepada Reuters di sebuah muzium yang didedikasikan kepada ibu bapanya di ladang keluarganya di utara Manila.

'Sebelum kita kenakan cukai baru, kita patut memungut cukai yang sudah sedia ada,' tegas Encik Aquino. -- Agensi.



No comments:

Posting Terkini