Pages

Wednesday, April 7, 2010

Masa depan Israel dalam bahaya

NEW YORK (Amerika Syarikat): Masa depan jangka panjang Israel diramal berada dalam bahaya jika rundingan damai Timur Tengah gagal dicapai, kata Raja Abdullah dalam satu wawancara dengan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang disiarkan menerusi versi dalam talian awal semalam.

'Saya fikir masa depan jangka panjang Israel dalam bahaya kecuali kita selesaikan masalah kita,' kata Raja Jordan itu, yang akan berangkat ke Washington Sabtu ini (Ahad, waktu Singapura) untuk menghadiri Sidang Puncak Keselamatan Nuklear Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kepada akhbar itu.

Ditanya mengenai mesej yang beliau akan sampaikan untuk meneruskan proses rundingan damai itu, Raja Abdullah berkata:

'Saya fikir membuang masa adalah sesuatu yang kita semua harus bimbangkan kerana terdapat ketegangan yang besar (di rantau ini).'

'Di sempadan Israel-Lebanon, jika anda bercakap (kepada beberapa warga Lebanon) hari ini mereka merasakan akan tercetusnya peperangan pada bila-bila saat.

'Nampaknya ada semacam percubaan oleh kumpulan-kumpulan tertentu untuk mencetuskan satu intifada ketiga, yang akan membawa bencana.

'Baitulmakdis, seperti yang anda ketahui, adalah sesuatu yang mudah meletus pada bila-bila masa dan kemudian ada kebimbangan terhadap tindakan ketenteraan antara Israel dengan Iran.

'Jadi, dengan berlatarkan semua perkara itu, status quo ini tidak boleh diterima; apa yang akan terjadi ialah kita sedang terus bergerak dalam bulatan hingga tercetusnya konflik dan orang ramai akan menderita kerana akan berlakunya satu peperangan.'

Raja Abdullah berkata Amerika mempunyai keutamaan lain sejak beberapa bulan lalu, khususnya di bidang ekonomi tetapi beliau tidak mempersoalkan komitmen pentadbiran Presiden Obama dalam proses damai itu. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini