Tarikh: 20 April 2010 (Selasa) Masa: 2.00 Petang - 6.00 Petang
Tempat: Di Laman 9, PKNS Bernam Jaya, Hulu Selangor
KIT MEDIA
20 APRIL 2010
MAJLIS PELANCARAN LADANG PISANG DOLE SEBIRO
MAKLUMAN MEDIA
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Penasihat Ekonomi Negeri Selangor akan membuat lawatan kerja ke Ladang Pisang Dole Sebiro bersama YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor; YB Azmin Ali, Pengerusi EXCO PKNS; YB Tuan Yaakob Sapari, EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan; YB Dr Xavier Jayakumar, EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April 2010, pukul 3.00 petang bertempat di Laman 9, PKNS Bernam Jaya, Hulu Selangor.
Majlis dianjurkan untuk melancarkan dan meraikan hasil tuaian pertama Ladang Pisang Dole Sebiro yang merupakan ladang pisang terbesar di Malaysia. Majlis akan menghimpunkan pekerja-pekerja Ladang Dole serta rakyat tempatan yang dijangkakan seramai 2,000 orang akan hadir.
Dole Inc merupakan syarikat pengeluar pisang dan buah-buahan terbesar di dunia yang menguasai saluran pasaran dan teknologi pertanian dunia. Dole Sebiro merupakan satu-satunya wakil pengeluar yang dilantik Dole Inc di Malaysia melalui hasil kerjasama dengan syarikat tempatan. Sehingga kini, syarikat memiliki ladang seluas 500 hektar di Hulu Selangor yang telah mengambil seramai 200 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan rakyat tempatan.
Kerajaan Negeri sedang dalam proses rundingan dengan syarikat untuk meluaskan perusahaan ladang tersebut kepada 1,000 hektar yang seterusnya akan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas.
Menjelang Jun 2010, dijangkakan Ladang Dole di Hulu Selangor mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20,000 kotak pisang dalam tempoh seminggu. Hasil tersebut bukan sahaja akan dibekalkan ke pasaraya di sekitar Lembah Klang, malah produk tempatan ini akan dieksport secara meluas ke Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara Asia Tengah. Ini sekaligus akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama pisang dalam jangka masa panjang.
Usahasama Ladang Dole Sebiro dan PKNS adalah salah satu langkah proaktif oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan nilai pulangan dari tanah-tanah milik Kerajaan Negeri. Melalui usahasama ini, Dole Sebiro diberikan pajakan pendek bersyarat agar tanah dapat diusahakan dan membawa pulangan dengan membayar pajakan kepada PKNS. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri membantu mewujudkan kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman dan peluang-peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang kian terpinggir. Kerjasama dengan Dole Inc juga menandakan usaha serius Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan aplikasi pertanian moden untuk menembusi pasaran dunia.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan Dole Inc bagi mengenal pasti kerjasama yang dapat diambil terutamanya melalui perkongsian bijak dengan Kerajaan Negeri. Aspek-aspek tumpuan yang akan ditekankan adalah teknologi pertanian moden, strategi pemasaran, latihan atau peningkatan keupayaan dan lain-lain aspek penting.
PEJABAT PENASIHAT EKONOMI NEGERI SELANGOR
No comments:
Post a Comment