Pages

Saturday, March 6, 2010

Sekilas Berita Dunia

Polis Aust siasat kematian budak

MELBOURNE: Polis Australia semalam melancarkan siasatan selepas mayat seorang budak lelaki rakyat India, Gurshan Singh, tiga tahun, dijumpai dibuang di tepi jalan di Melbourne.

Ketua Menteri Victoria, Encik John Brumby, menyifatkan kematian budak dari Punjab itu 'tragedi yang amat menyedihkan', tetapi menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Budak itu hilang pada 1 petang ketika ibunya sedang mandi, manakala ayahnya ke perpustakaan. Mayatnya dijumpai enam jam kemudian. -- AFP.

Pemberontok Moro lolos dari jel

COTABATO: Seorang pemberontak Moro melarikan diri daripada sebuah penjara yang dikawal rapi di selatan Filipina, menurut laporan semalam.

Jurucakap tentera wilayah, Meja Randolph Cabangbang, berkata Mohamad Jaafar Maguid melarikan diri daripada penjara Sarangani dengan menggergaji batang besi bilik kurungan.

Pengawal penjara mendapati dia hilang empat jam kemudian. Operasi telah dilancar bagi menangkap banduan tersebut, kata beliau. -- Agensi.

Bayi mati dek ibu bapa leka bermain

SEOUL: Sepasang suami isteri di bandar Suweon, ke selatan Seoul, Korea Selatan, diberkas kelmarin kerana menyebabkan bayi perempuan mereka mati kelaparan sebab leka bermain permainan Internet.

Polis semalam berkata lelaki berumur 41 tahun dan isterinya berusia 25 tahun itu ditahan lima bulan selepas melaporkan kematian anak mereka berusia tiga bulan.

Bayi itu dijumpai mati pada 24 September tahun lalu. Bedah siasat menunjukkan punca kematiannya ialah kelaparan yang berpanjangan. -- AFP.

10 maut dalam serangan nekad

HANGU: Seorang pengebom nekad merempuh sebuah konvoi pengikut Syiah yang diiringi pasukan keselamatan di bandar Tul, di daerah Hangu, barat laut Pakistan, semalam, mengakibatkan 10 orang terkorban dan 30 lagi cedera, kata polis.

Serangan yang berlaku dekat stesen minyak itu memusnahkan lima kenderaan dalam konvoi yang sedang dalam perjalanan ke bandar Peshawar, kata ketua polis daerah, Encik Abdur Rashid Khan. -- AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini