Pages

Monday, March 1, 2010

Monopoli Anwar dalam PKR dorong anggota keluar parti, kata Rais

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Monopoli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi antara punca anggota parti meninggalkan PKR kebelakangan ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Rais, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata tindakan itu juga mungkin didorong oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap kegagalan pimpinan PKR menyusun, mentadbir dan menjelaskan dasar-dasar parti kepada rakyat.

“PKR tampaknya diawasi dan diurus oleh satu keluarga. Di situ kita ada keluarga Anggota Parlimen Permatang Pauh (Anwar) misalnya, dengan isterinya sebagai Presiden (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan anaknya (Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah) juga memainkan peranan penting.

“Jadi nampak sebagai satu enterprise keluarga...ini mungkin tidak meyakinkan rakyat dan didapati pula dasar-dasar mereka tidak dapat disusun dan ditadbir sebagai tanda yang jelas kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Internet Mengenai Teknologi Operasi Rantau Asia Pasifik (Aprikot) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. Rais diminta mengulas mengenai situasi keluar parti yang berlaku di kalangan anggota PKR akhir-akhir ini.

Krisis hilang keyakinan terhadap kepimpinan dalam PKR semakin meruncing apabila anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng hari ini mengumumkan keluar daripada PKR berkuatkuasa serta merta, sehari selepas bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin berbuat demikian semalam.

Alasan yang diberikan mereka adalah sama iaitu kecewa dengan kepimpinan parti yang gagal memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Pada 12 Feb lepas, anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah mengumumkan keluar dari PKR kerana kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam parti pakatan. Rais berkata rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti terhadap monopoli dalam PKR pernah diluahkan oleh Mohamad Fairus ketika bertemu dengannya kira-kira sebulan yang lalu.

Katanya luahan yang datangnya dari seorang yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dalam PKR dan percaya trend sedemikian akan berterusan.

Menurut Rais perkembangan yang berlaku dalam PKR ketika ini sememangnya telah diduga kerana jelas asas perjuangan mereka tidak dikepilkan dengan khidmat serta perjuangan yang jelas yang boleh difahami rakyat.

“Oleh kerana tidak sampainya khidmat ini kepada rakyat dan lantaran para pemimpin PKR itu adalah semata-mata menonjol ke tahap tidak praktikal, sebab itu parti mereka nampak berkecai,” katanya. — Bernama

No comments:

Posting Terkini