Pages

Friday, January 22, 2010

Strategi antimilitan cetus fobia terhadap Islam

LONDON: Polis Islam di Britain menyalahkan strategi antipengganasan kerajaan kerana mencetuskan fobia terhadap agama Islam.

Ia juga telah menyebabkan jurang antara masyarakat menjadi semakin luas.

Persatuan Nasional bagi Polis Islam (Namp) memberi amaran program pencegahan kerajaan yang bertujuan menangani pelampau ganas telah menimbulkan 'stigma' terhadap masyarakat Islam.

Menurut persatuan itu, ancaman sebenar datang daripada golongan yang tegar.

'Kebencian terhadap masyarakat Islam telah meningkat ke tahap yang tidak lagi wajar dan ia satu penghinaan terhadap nilai-nilai Britain. Sekarang ini, golongan Islam terpaksa berdepan dengan penganiayaan setiap hari. Perkara serupa ini tentunya tidak akan diterima rakyat Britain, jika ia berlaku di negara lain,' kata Namp.

Menurut persatuan itu, program pencegahan Britain menyumbang kepada meningkatnya fobia terhadap agama Islam kerana ia menarik perhatian kepada stereotaip yang sering dipromosikan oleh media serta parti sayap kanan.

Stereotaip itu termasuk 'semua penganut Islam jahat dan tidak boleh dipercayai', kata Namp.

Perpaduan di kalangan masyarakat setempat juga mungkin terjejas ekoran strategi pencegahan kerajaan ini.

Namp ditubuhkan pada Julai 2007 dan mempunyai lebih 2,000 anggota.

Sementara itu di Amerika Syarikat, satu tinjauan yang didedahkan kelmarin menunjukkan para penduduk negara itu dua kali ganda lebih cenderung untuk melahirkan rasa prejudis terhadap penganut Islam, berbanding penganut agama Kristian, Yahudi atau Buddha.

Hampir dua pertiga daripada penduduk Amerika juga berkata mereka kurang atau tiada pengetahuan mengenai agama Islam.

Tinjauan itu dijalankan oleh Tinjauan Agama Dunia Gallup.

Ia sebahagian projek untuk meneroka cara untuk meningkatkan pemahaman di antara masyarakat Amerika dengan penganut Islam.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dan pentadbirannya mahu memperbaiki imej Amerika di dunia Islam.

Dalam tinjauan terbaru itu, hanya separuh daripada responden yang berkata mereka tidak mempunyai sebarang prejudis terhadap penganut Islam.

Ditanya mengenai pengetahuan mereka mengenai agama Islam, 63 peratus rakyat Amerika berkata mereka mempunyai 'sedikit pengetahuan' atau 'tidak tahu apa-apa'.

Majoriti responden percaya penganut Islam mahukan kedamaian.

Namun, 53 peratus daripada mereka berkata mereka tidak mempunyai tanggapan yang baik terhadap agama itu. -- AP, AFP.


No comments:

Posting Terkini