LOS ANGELES: Sijil kematian Michael Jackson mengesahkan penyanyi itu mati dibunuh, akhbar News of the World mendedahkan kelmarin.
Akhbar itu mendapatkan salinan dokumen dengan pindaan yang mengesahkan perkara itu.
Dalam sijil asal 7 Julai tahun lalu, timbalan koroner, Cik Cheryl MacWillie, tidak menyatakan punca kematian Raja Pop itu. Namun selepas siasatan lanjut, sijil itu dipinda pada 31 Ogos lalu oleh pemeriksa perubatan, Encik Christoper Rogers, kepada 'homisid'.
Beliau membuat kesimpulan Jackson meninggal dunia akibat 'pengambilan berlebihan Propofol' berikutan 'suntikan intravena pihak ketiga'.
Sementara itu, doktor mendiang Jackson, Dr Conrad Murray, 56 tahun, sudah melantik peguam terkenal kerana bimbang didakwa dalam kematian penyanyi itu pada 25 Jun lalu.
Peguam Hollywood terkenal itu, Encik Michael Flanagan, sebelum ini menyelamatkan seorang jururawat daripada tuduhan membunuh apabila dia didakwa secara salah memberi ubat penahan sakit Propofol.
Afidavit polis berkata Dr Murray mengakui menyuntik Jackson, 50 tahun, dengan Propofol dan ubat lain beberapa jam sebelum kematiannya.
Sementara itu, sumber keluarga Jackson pada Sabtu lalu berkata: 'Kami memberi kepercayaan kepada polis. Kami mahu pihak berkuasa mengeluarkan perincian apa yang berlaku ke atas Michael beberapa jam terakhirnya. Kami mahu kertas kerja menunjukkan jenis ubat disuntik ke dalam tubuhnya.
'Kebanyakan dokumentasi dirahsiakan dan kami tidak memahaminya. Kami berasa lebih daripada seorang bertanggungjawab atas kematian tragik Michael.'
Dalam perkembangan lain, hasil siasatan enam bulan ke atas kematian Jackson akan dibentang kepada Peguam Daerah Los Angeles dalam tempoh beberapa minggu.
Satu sumber penguat kuasa undang-undang berkata 'hampir pasti' Dr Murray akan didakwa.
Beliau akan didakwa atas tuduhan kecuaian nyata, sama ada dengan menyebabkan kematian secara sengaja atau tuduhan lebih serius, menurut Fox News. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment